KEMBARA MENCARI TUHAN

. 26 Jun 2009
8 comments

Cuti kali ini adalah proses untuk menyucikan jiwa. Membersihkan jiwa dari segala kekotoran yang ada serta untuk mencari ketenangan. Saya sangat memerlukan semua itu sekarang.

Kelmarin, urusan visa dan pasport selesai. Selepas itu terus ke bank untuk tunaikan cek. Cuaca Mesir hari ini cukup panas...Huh!!!

Saya sememangnya telah bercadang untuk menunaikan umrah sejak dari tahun lepas lagi. Namun tahun ini baru berkesempatan untuk ke sana. Setiap hari saya asyik berfikir dan berdoa supaya Allah Taala sudi dengan ehsan dan rahmat-Nya menerima saya menjadi tetamu-Nya.

Saya berkeyakinan terhadap janji Allah Taala supaya sentiasa bersangka baik kepada-Nya. Dalam Hadis Qudsi ada menyebut:-

قال النبي - صلى الله عليه وسلم - : يقول الله تعالى :أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني ، فإن ذكرني في نفسه ذكرته في نفسي ، وإن ذكرني في ملإ ذكرته في ملإ خير منهم ، وإن تقرب إلي بشبر تقربت إليه ذراعا ، وإن تقرب إلي ذراعا تقربت إليه باعا ، وإن أتاني يمشي أتيته هرولة
“Aku di dalam sangkaan hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku sentiasa bersamanya ketika ia mengingat-Ku. Jika ia mengingat-Ku dalam dirinya (hatinya), maka Aku mengingatnya dalam zat-Ku. Jika ia mengingat-Ku dalam kumpulan orang banyak, maka Aku mengingatnya dalam kumpulan yang lebih baik dari itu. Jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, nescaya Aku akan mendekatkan zat-Ku kepadanya sehasta. Jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatkan zat-Ku kepadanya sedepa. Jika ia datang kepada-Ku berjalan kaki, maka Aku akan datang kepadanya berlari.”

Sebagai hamba, bersangka baik itu sangat dituntut supaya hati ini sentiasa terikat dengan Allah Taala serta tidak terbabas aqidah di sepanjang ujian perjalanan.

Untuk itu, blog ini tidak akan diupdate untuk tempoh yang agak panjang. Jika saya berkesempatan, saya akan memuatkan catatan perjalanan saya di sepanjang kembara ini.

Doakan saya selamat di sepanjang perjalanan dalam keadaan selamat pergi serta selamat pulang. Doakan juga supaya diberi kesihatan yang baik untuk menunaikan ibadat.

P/S : Saya memang ingin mencari Tuhan...

TAK SALAH BERANGAN

. 22 Jun 2009
5 comments

Saya pasti akan ada individu yang akan mencemuh saya dengan keratan akhbar di atas. Namun, saya punya cita-cita. Punya Hasrat. Tapi, bukan semestinya Perdana Menteri. Cuma, ia menggambarkan ketinggian nilai pada sebuah cita-cita.

Orang yang bercita-cita itu tanda orang berwawasan untuk maju ke depan.

Bercita-cita bukan sekadar berangan tapi mempunyai daya untuk menterjemah cita-cita itu. Kata orang, bercita-cita biarlah setinggi bintang di langit. Jikalau tidak dapat mengapai bintang,sekurang-kurangnya akan dapat mengapai juga setinggi pohon rhu/kelapa.

Saidina Ali pernah berkata:-

اعمل لدنياك كأنك تعيش أبدا
واعمل لآخرتك كأنك تموت غدا

"Beramallah untuk dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari"

Ini juga adalah falsafah cita-cita dan pengharapan.

Saya punya jangka dua tahun lagi untuk melestarikan cita-cita kecil saya.
Namun, entah punya berapa tahun lagi pula untuk melestarikan cita-cita besar saya...huhu

NOTA HARI BAPA

. 21 Jun 2009
0 comments

Hari ini Hari Bapa. Hari untuk kenang perihal jasa dan pengorbanan bapa. Untuk bercerita pasal bapa, memang banyak kisahnya. Namun, biarlah ia menjadi buku cerita atau buku sejarah dalam nota-nota hidup saya. Saya akan buka kembali lembaran cerita ini untuk bercerita dengan anak-anak saya pula nanti.huhu...

Saya yakin anda juga ada cerita tersendiri bersama bapa. Cuma, saya terfikir-fikir sendirian adakah saya suatu hari nanti mampu untuk membalas semula keringat yang telah dicurahkan.

Semalam saya menonton drama yang cukup berkualiti untuk ditonton iaitu drama Cahaya LailatuQadar dan drama Ihsan. Amat sesuai menontonnya di kala hari bapa ini. Saya rasa, anda juga patut menontonnya supaya kita sering mengingati agar tidak jatuh dipersimpangan kelak. Belajar untuk hidup berjasa.

Sedikit gambar tentang abah...

Abah bersama ADUN Kota Putera.

Abah memimpin Pak Lah

Abah ketika bercuti di Zoo Negara

Abah ketika bercuti di Johor

Di hari ini, saya mengabadikan ucapan Selamat Hari Bapa untuk Abah tercinta di tanah air sana. Thanks a lot for listening and caring. Thanks a lot for giving and sharing. Thanks a lot Abah...

Belajarlah untuk menghargai tatkala masih ada...

P/S : Jangan jadi anak derhaka.

DATUK SUDIRMAN

. 19 Jun 2009
1 comments

Saya mengenali Allahyarham Sudirman seawal usia darjah 3. Selepas itu saya menggila meminati Sudirman. Saya tidaklah terlalu mengenalinya kerana anak kelahiran Temerloh ini meninggal dunia seawal 22 Februari 1992 pada usia 37 tahun.

Tapi emak saya berpendapat,kurang elok mendengar lagu orang yang sudah mati. Nanti akan menyeksakan Allahyarham di alam kubur katanya. Emmm...

Sudirman ada yang istimewa bagi saya. Dulu-dulu, setiap keratan akhbar yang berkaitan dengan Allahyarham, saya akan gunting dan tampal dalam buku log peribadi. Malah, saya juga turut membeli album Allahyarham Sudirman menggunakan duit belanja sekolah tanpa pengetahuan abah dan mak.

Namun, apa yang paling istimewa seingatan saya, saya pernah memiliki kaca mata hitam Sudirman yang jenis tanpa batang bingkai yang boleh digulung.

Pada Sudirman, saya melihat kelainan berbanding artis melayu lain yang 'meloyakan'. Sudirman mempunyai karekter artis yang mempunyai nilai murni yang tinggi. Seorang yang terpelajar. Jauh berbeza dengan artis melayu sekarang yang srp/spm pon tak lepas. Kemudian jadi artis terkinja-kinja macam beruk di khalayak. Macam sampah. Tiada nilai...

Hari ini Allahyarham dianugerahkan 'Datuk' oleh Sultan Pahang. Satu penghargaan kepada yang tiada. Senasib dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Itulah Manusia. Ketika ada bersama, ingat pon tidak, kenang pon tidak. Apabila sudah tiada, barulah mula mengadah untuk mengingati...

Berfikirlah untuk menghargai ketika ada...

P/S : Semoga ALLAH melimpahi rahmat atas roh Allahyarham...

NILAIAN MASA YANG BERBEZA

. 12 Jun 2009
0 comments

Saya telah tamat exam rabu lalu. Mungkin pada waktu sebegini, ada celah-celah masa yang sedikit terluang. Ya... Sedikit terluang sebelum saya merantau lagi bulan depan.

Masa yang dikurniakan kepada kita ada hanyalah 24 jam sehari semalam. Tidak pernah berubah sejak dahulu. Namun kadar masa yang sama ini membawa senario yang berbeza kepada situasi yang berbeza.

1) Kalau Bosan - Satu jam bagaikan sehari
2) Kalau Teruja - Sehari bagaikan seminit
3) Kalau Rindu - Sehari bagaikan setahun
4) Kalau Terseksa - Sesaat bagaikan berbulan-bulan
5) Kalau Menunggu - Seminit bagaikan sejam

Ini gambaran situasi normal ketika di dunia. Pun begitu, di Mahsyar kelak suasana tidak jauh berbeza.

Kepada hamba yang beriman, ribuan tahun di Mahsyar akan terasa sekejap sahaja tetapi bagi yang engkar, satu saat pun terasa tersangat lama bahkan ada yang menggesa supaya dimasukkan sahaja dirinya ke neraka kerana tidak tahan dengan seksaan ketika itu. Walhal mereka tidak tahu bahawa seksaan di neraka tidak dapat dibandingkan dengan seksaan ketika di Padang Mahsyar...

Jadi, perlu difikirkan tentang masa...

P/S : Saya sedang berada pada situasi yang ketiga. Rindu...huhu

APABILA MEMANDANG DUNIA,PANDANGLAH KE BAWAH

.
0 comments

Gambar di atas telah memenangi hadiah Pulitzer. (Hadiah untuk gambar terbaik dunia bagi dunia kewartawanan) pada tahun 1994 dan dirakam oleh Kevin Carter.

Gambar ini menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berbangsa Sudan sedang mencari makanan kerana Sudan ketika itu sedang dilanda kebuluran yang sangat teruk.

Di belakangnya pula terdapat seekor burung hering yang sedang menunggu untuk meratah budak perempuan tersebut sekiranya dia mati. Walaubagaimana pun tidak dapat dipastikan nasib budak tersebut selepas gambarnya dirakam.

Kevin Carter merupakan seorang wartawan Afrika Selatan. Apa yang menyayatkan hati ialah beliau telah membunuh diri 2 bulan selepas dianugerahkan hadiah Pulitzer tersebut.

Mengikut Judith Matloff, rakan lama beliau, kevin sering dilihat di bawah pokok sambil menghisap rokok bersambung-sambung dan sering menangis selepas beliau memenangi anugerah gambar tersebut.

Dalam notanya, Kevin mencatatkan bahawa beliau tidak dapat melupakan peristiwa yang sentiasa menghantuinya. Pembunuhan, kemarahan, kesakitan, kelaparan, kebuluran, kanak-kanak yang cedera dan tembakan membabi buta semasa berada di sana.

Ini adalah antara secebis kisah daripada peristiwa-peristiwa menyayatkan hati yang berlaku setiap detik di seluruh dunia. Maka jika anda merasakan andalah orang yang paling susah di dunia ini sebenarnya masih ramai lagi yang jauh lebih susah dari anda.

Justeru itu belajarlah menghadapi kesusahan yang anda hadapi sekarang kerana kesusahan yang ada di dunia hari ini sebenarnya berjuta kali lebih baik dari kesusahan yang bakal ditempuhi di akhirat nanti...

P/S : Ya Allah... Janganlah engkau membebani kami apa yang kami tidak sanggup memikulnya...

PERIHAL SABAR

. 09 Jun 2009
0 comments

Saya selesai peperiksaan 'Hadis Ahkam' semalam. Alhamdulillah... Cuma tinggal satu paper lagi untuk esok. Subjek Hadis Ahkam tahun ini membicarakan Soal Sabar. Dan saya terus langsung mempraktik dan mengaplikasikannya semasa berpeluh menjawab soalan yang sedikit sukar itu...huhu

APA ITU SABAR

Sabar adalah lambang kecerahan dan kepujian kepada diri individu tersebut. Sabar berkait rapat dengan soal hati yang mana jarang-jarang manusia dapat menguasai hati yang kecil ini.

Sabar dalam erti kata yang mudah adalah menahan diri ketika kesempitan dan kesusahan. Menahan diri dan nafsu atas perkara yang makhruh. Menyekat lisan daripada mengadu-ngadu atas ketentuan yang diberikan.

KENAPA PERLU SABAR

Sabar berperanan untuk membersih dan menyucikan pegangan,iktiqad serta aqidah daripada berpaling atau berlawanan dengan ketentuan/hukuman Allah Taala.

Sabar juga adalah cahaya ke dalam diri ketika mana kegelapan menghadapi bala atau kecelakaan yang menimpa

Sabar adalah sebab kepada terhasilnya segala setiap kesempurnaan,

Bila anda ditimpa musibah,kemudian anda bersabar, barulah anda akan mengetahui peranan besar sabar kepada jiwa anda.

Ulama membahagikan sabar kepada 3 bahagian:-

1- Sabar daripada melakukan maksiat.
2- Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah sehingga tertunainya kewajipan tersebut.
(Sabar ini lebih afdol dan terlebih tinggi darjatnya daripada sabar melakukan maksiat)
3- Sabar atas bala dan musibah serta tidak mengadu-ngadu kepada tuhan.

Namun disana, ada juga sabar dalam erti kata yang lain. Sabar dengan sikap,perangai dan tingkah laku manusia. Sabar atas sesuatu yang dibenci.

Kadang-kadang saya terfikir sendirian, bahawa rakan-rakan mat rempit saya yang tidak mengaji agama, jauh lebih berhati mulia dan berbudi pekerti serta pandai menghormati orang lain berbanding dengan SEGELINTIR ustaz-ustaz yang mengaji agama yang mempunyai EGO yang sedikit tinggi... Tidak pandai hormat orang lain serta langsung tidak boleh ditegur. Kononnya mulia...

Entahlah...P/S : Saya sedang bersabar dengan seseorang...emmmm

Tambahan : Hati mesti baik...huhu

APABILA USIA 40 TAHUN

.
0 comments

Orang kata, apabila usia sudah menjengah 40 tahun, harus sudah bersedia membuat penilaian prestasi amal dalam kehidupan.

Harus berhati-hati juga dalam amal, tingkah laku dan perbuatan kerana ia akan terus lekat menjadi tabiat sehingga ke akhir hayat.

Saya ingin berkongsi bersama dengan rakan blogger sekalian apa yang saya dapat hari ini.

Apabila kita sudah menjengah usia 40 tahun, jangan ditinggalkan 17 rakaat solat sunat ini.

1- 2 Rakaat Solat Sunat sebelum Subuh.
2- 2 Rakaat Solat Sunat sebelum Zohor.
3- 2 Rakaat Solat Sunat selepas Zohor.
4- 2 Rakaat Solat Sunat selepas Maghrib.
5- 2 Rakaat Solat Sunat selepas Isya'.
6- 2 Rakaat Solat Sunat Dhuha.
7- 2 Rakaat Solat Taubat.
8- 2 Rakaat Solat Tahajjud.
9- 1 Rakaat Solat Witir.

Namun begitu, janganlah ditunggu sehingga usia 40 tahun pula, baru hendak beramal dengannya.

Seeloknya laksanakanlah di usia muda ini supaya ia akan menjadi tabiat berkekalan sehingga ke akhir hayat kita dan agar tidak menjadi satu kepayahan di usia tua nanti.

Selamat mencuba...huhu

SEDEKAH : KEUTAMAAN UNTUK SIAPA???

.
1 comments

Saya berang hari ini. Saya berang apabila melihat gelagat si peminta sedekah yang menghulurkan tangan kanannya menagih simpati orang ramai, sementara tangan kiri pula enak memegang puntung rokok.

Setiap kali saya ke kuliah, pasti terserempak dengan si peminta sedekah dengan karekter sebegini.

Ahh... Geram. Katanya sudah beberapa hari tidak makan. Namun rokok yang lebih mahal harganya itu lebih menjadi keutamaan daripada makanan yang jauh lebih murah harganya. Saya musykil untuk menghulurkan sumbangan. Musykil dan bimbang takut-takut duit itu akan menjadi asap juga nanti.

Jadi, sedekah dan sumbangan ini untuk siapa sebenarnya???

Keutamaan bersedekah harus dititiknilaikan kepada golongan-golongan berikut:-

1- Untuk jalan Allah.
Ini adalah yang terlebih utama untuk dilaksanakan. Mendahulukan hak Allah melebihi segala-galanya.
(Contoh : Masjid,sekolah,biaya orang menuntut ilmu,wakaf, projek untuk kepentingan Islam,pembiayaan kelengkapan tentera Islam dan lain-lain)

2- Kaum keluarga.

3- Orang yang meminta tetapi tidak menunjukkan keperluannya.
Golongan ini adalah terlebih utama untuk dibantu berbanding peminta sedekah.

4- Orang yang memerlukan dan mereka menunjukkan keperluan dan permintaan mereka itu.

Ini adalah urutan keutamaan sedekah yang harus diteliti dengan sewajarnya.

Tulisan saya ini bukan untuk menafikan pemberian sedekah namun saya sedikit bimbang jikalau sikap meminta-minta itu meresap dan sebati dengan umat Islam. Natijahnya, akan lahirlah individu yang mempunyai karekter malas bekerja dan tiada upaya untuk berusaha. Keadaan ini sedikit ketara di Bumi Mesir sepanjang pemerhatian saya disini.

Golongan sebegini harus dibantu dengan cara yang lebih kolektif untuk membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan.

Jadi, Idea-Idea bernas daripada kita, para mahasiswa harus disumbangkan untuk membantu mereka...

"Muslim yang lebih kuat/bermanfaat lebih disukai Allah dan Rasulnya"

P/S : Membelanja makan kawan-kawan juga saya meletakkannya sebagai keutamaan yang kedua dalam bersedekah kerana anda umpama kaum keluarga juga...

Setuju atau tidak???huhuhu...

MENGHORMATI ORANG TUA

. 04 Jun 2009
2 comments

Kita diajar menghormati orang lain lebih-lebih lagi kepada orang tua. Diajar bersalaman dan mencium tangan sebagai tanda hormat dan rendah diri. Namun, apabila dilakukan secara berlebih-lebihan dan keterlaluan ia seolah-olah menjadi mengampu pula.

Emmm... Apa nak jadilah dengan orang Melayu kita???

P/S : Seeloknya haiwan ini lebih bermaruah dari anda seorang Sang Pengampu (UMNO)...huhu

Related Posts with Thumbnails
    follow me on Twitter