PASCA RAMADHAN

. 29 Jun 2010
0 comments

Ramadhan bakal menjelma tidak lama lagi. Bagi orang mukmin, kerinduan pada 'kekasih yang berbudi' ini sangatlah ditagih.

Insyallah, Ramadhan pada musim ini, akan saya abadikan di bumi Malaysia setelah 3 musim saya menyambutnya di Bumi Anbiya' ini.

Pastinya saya akan merindui musim-musim meriah itu lagi.

KEMPEN BACA@RAMADHAN

Menjelang pasca Ramadhan ini, saya ingin berkongsi satu kempen yang dilancarkan oleh pihak PTS iaitu Kempen Baca@Ramadhan.

Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat Malaysia khususnya beragama Islam menjadikan budaya membaca sebagai salah satu ibadah tambahan pada bulan puasa selain daripada ibadah wajib dan sunat yang dituntut.

Kempen ini bermula seawal 1 Jun sehingga 5 September 2010.

Membaca sebenarnya tidaklah terhad pada masa dan waktu-waktu tertentu sahaja.

Namun, menurut Puan Ainon Mohd, melalui Kempen Baca@Ramadhan PTS ini, aktiviti membaca dapat memenuhkan masa ketika menunggu waktu berbuka puasa ataupun selepas bersahur.

Bagi menjayakan kempen ini, PTS menerbitkan 52 judul buku baru pelbagai kategori yang sesuai dijadikan bahan bacaan ritual sepanjang Ramadan nanti.

Ada banyak info dan maklumat yang akan anda perolihi di dalam ruangan kempen ini.

Bukan setakat bahan bacaan sahaja, malah resepi untuk juadah berbuka puasa juga...:-)

Anda boleh mendapatkan pelbagai info mengenai kempen ini DISINI.

Jom Tambah Ilmu, Mantapkan Ibadah!!!

post signature

| Hayyu El-Asyir | 290610 | 12.53am |
| tgidham@ http://khairulidham.blogspot.com/ |

PENYELESAIAN KEPADA PENYEKSAAN

. 20 Jun 2010
3 comments

Ada orang berpandangan sebegini :-

"Kamu ni Ali (Bukan nama sebenar), kena kahwin dah ni. Teruk benar gayanya. Bilik macam kandang kuda. Baju berlonggok dijeruk tak berbasuh. Kalau berbasuh pun, diperap dalam mesin 4 tahun.

Baju-baju tak pernahnya berlipat. Pinggan mangkuk berlonggok berhias di singki tak berbasuh. Nak basuh cawan sebiji pun tak larat. Nak memasak jauh sekali. Kedarah je keje. Malas pe himar!!!"

Ini petikan dialog yang saya dengar baru-baru ini.

Ada sesetengah orang mencadangkan perkahwinan sebagai penyelesaian kepada masalah pengurusan kendiri sebegini.

Saya membantah keras!!!

Saya kata, anda tidak layak berkahwin buat masa ini...

ILMU RUMAHTANGGA

Ilmu rumahtangga tiada pengkhususannya di Universiti. Tiada juga di sekolah. Ia adalah ilmu istimewa yang diperolehi melalui praktikal, pengalaman dan tunjuk ajar serta nilai dari sebuah sikap.

Perkahwinan adalah medan pengamalan ilmu rumahtangga. Bukan lagi medan ujian praktikal selepas berkahwin.

Kalaulah ia medan ujian, pasti saja ada yang berjaya dan ada yang gagal.

Saya kurang bersetuju jika ada yang berpendapat, individu yang 'culas dan malas' ini akan berubah apabila ia berkahwin.

Akan berubah ke dia???

Mungkin ada. Tapi nisbahnya adalah kecil. Jika masalah dan perangai ini tidak berubah, risikonya adalah pergolakan rumahtangga yang mungkin maha dahsyat yang mengakibatkan penceraian.

Nauzibillah...

Berdikari di kala keseorangan saja pun sudah terbabas, apatah lagi di kala berdua.

Jikalau ia melibatkan individu biasa, saya kurang sangat terasa serpihannya. Yang membimbangkan saya, adalah ia melibatkan individu yang mengaku kononnya sebagai pejuang, aktivis, pengerak dan lain-lain.

Di medan perjuangan, dilihat cukup perkasa.

Bercakap berdegor-degor. Tazkirah mantap siot.

Tapi di sebalik kehidupan pengurusan kendiri, cukup saja memualkan. Aduh!!!

Jangan menjadi asbab fitnah kepada para aktivis agama. Ia memalukan dan merosakkan.

MEMILIH CALON

Kebetulan sehari dua ini saya membaca Kitab Ahwal Syakhsiah. Saya turunkan secara ringkas ciri-ciri untuk memilih pasangan suami dan isteri :-

ISTERI

1- Kekuatan pegangan dan pengamalan Agama.
2- Bersifat pengasih/penyayang dan lemah lembut.
3- Berkeupayaan melahirkan zuriat (Subur).
4- Seorang anak dara.
5- Hendaklah memilih isteri yang jauh nasab keturunan dari suami. Ini kerana, ia lebih memberi zuriat yang kuat dan sihat kepada pasangan.
6- Matang.
7- Tidak mandul.

SUAMI

1- Baik Agamanya.
2- Baik akhlaknya.

"Jika datang kepada kamu yang kamu redhai (puas hati) daripada akhlak dan agamanya, maka kahwinilah ia" (Hadis Nabi SAW)

Mungkin ada lagi ciri-ciri yang digariskan dalam kitab-kitab lain. Namun, cuma ini yang sempat saya baca dan mengkajinya (Sebab ia adalah muqarar...haha3x)

Saya masih mencari hikmah kenapa ulama mengariskan banyak ciri-ciri yang perlu ada pada wanita berbanding hanya dua ciri pada lelaki...

Seharusnyalah kita berusaha mendalami ilmu rumahtangga dengan berpraktikal mulai saat ini. Usah ditunggu apabila saat mahu berkahwin, baru ingin belajar. Nanti akan terzahir sangat kecacatannya.

Jangan pula mengharapkan isteri semata-mata. Mungkin memasak tugas isteri. Berkemas tugas isteri. Membasuh tugas isteri. Menjaga anak tugas isteri. Tapi isteri bukan orang gaji.

Pembentukan Bait Muslim adalah lambang kebersamaan dan kesatuan. Saling menampung supaya lebih utuh dan jitu.

Para pejuang bercakap soal pembinaan Khilafah. Pembentukan khilafah bermula dari Afrad Muslim. Kemudian berkembang kepada Bait Muslim. Apabila berjayanya Bait Muslim, maka akan terbentuklah Mujtama' Muslim yang Muslih, yang mampu membina khilafah.

Kalau tidak, kita hanya bercakap kosong dan bla...bla..bla...

Kalaulah semuanya isteri,

Cadangan penyelesaian masalah pengurusan kendiri tadi, berubah menjadi kepada menyeksa isteri saja!!!

Penyelesaian kepada Penyeksaan.

Suami apakah itu???

TAMBAHAN :-

Kurang 30 Jam lagi, saya akan menduduki kertas terakhir peperiksaan Ahwal Syakhsiah. Kalau sudi, tolong doakan kejayaan saya tuan-tuan.

Maaf kerana tidak menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) dalam artikel kali ini.

post signature


| Hayyu El-Asyir | 200610 | 7.01am |
tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/

PANDANGAN BUKAN SATU

. 17 Jun 2010
1 comments

Arah memandang saja sudah berbeza

Perbezaan adalah satu anugerah.

Perbezaan merupakan sinergi semulajadi dan Sunnatullah yang menjadikan dunia ini tidak sunyi dan tidak pula bosan dengan kitaran kehidupan.

Dalam Islam, Islam meraikan pelbagai pandangan yang berbeza bagi mengambarkan murninya ajaran Islam yang tidak mengongkong dan selesa untuk diamalkan.

Jika tiada sinergi ini, mana mungkin lahirnya pelbagai mazhab disamping mazhab empat yang masyhur.

Pensyarah kami di kuliah, Dr. Saadudin Mus'ad El-Hilali cukup saja memberikan saya petunjuk yang jelas. Dalam pengajaran Feqh Muqaran beliau, beliau membentangkan sekalian pendapat dan mazhab yang pelbagai dalam sesuatu masalah.

Keputusan kepada permasalahan itu, terpulang kepada kamu untuk memilihnya berdasarkan dalil-dalil dan hujah sedia ada yang mana dirasakan kuat dan bersesuaian dengan masa, zaman, suasana dan tempat.

Oh, indah sungguh ajaran Islam. Mudah tapi bukan dipermudahkan.

Allah Taala mungkin saja menjadikan kita umat yang satu, namun perbezaan itu diwujudkan untuk mencari hikmah sesuatu kejadian.

"Jika Tuhanmu mengkehendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat" (Hud : 11:118)

Namun ada juga yang tidak dapat menerima pandangan yang bercanggah walaupun pada asas dan tunjang yang sama.

Ada yang tidak dapat menerima apabila saya 'sedikit' mengagumi Anwar Ibrahim. (Contohla). Mudah saja menghukum saya sudah terpesong. Aduh!!!

Bukankah ia masih pada asas dan matlamat yang sama ingin menjatuhkan kerajaan taghut UMNO???

Oh!!! Politik pula. Maaf.

Ada yang tidak dapat menerima itu dan ini. Bla...bla...bla...

Kalau makan nasi lauk yang sama tiap-tiap hari, pasti saja jemu dan menjuakkan.

Seorang isteri kalau masak lauk sama hari-hari, pasti saja suami boleh lari.

Jadi, kita memerlukan lauk-pauk yang berbeza bagi menikmati enaknya sebuah kehidupan.

Kerana

Selera kita sentiasa berbeza.

post signature


| Tooba El-Ramly | 170610 | 5.45pm |
tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/

KITA TIDAK PERNAH TAHU

. 16 Jun 2010
0 comments

Sudah lama saya tidak menulis. Hampir dua bulan kiranya. Artikel-artikel yang ada hanyalah 'tangkap muat' dari laman-laman lain.

Tujuan saya menulis yang terutama adalah untuk diri sendiri supaya jalan-jalan saya diseliputi panduan dan hikmah.

Pergerakan kehidupan kita kadang-kadang terbatas. Tidak semua urusan mampu dilakukan dengan sempurna tanpa restu dari Allah Taala.

Kita hidup di dunia ini mengikut perancangan yang telah ditetapkan tuhan. Kita hanya memilih keputusan yang telah sedia ada. Samada keputusan itu baik atau sebaliknya, pasti ada sesuatu hikmah yang tidak kita ketahui.

Untuk mengetahui masa depan, ibarat menanti bulan jatuh ke riba.

Untuk mengetahui masa depan, kita bukan malaikat yang dikhabarkan berita oleh Tuhan.

Untuk mengetahui masa depan, kita bukan nabi yang ada khabar wahyu.

Untuk mengetahui masa depan, kita bukan iblis yang mencuri khabar rahsia tuhan.

Yang pasti, kita hanya mengetahui hal yang lepas dan pada saat ini. Itulah manusia. Lemah!!!

Dirahsiakan perihal akan datang supaya manusia tidak hancur dengan apa yang akan diketahui.

"Katakanlah : Sesekali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami dan hanyalah kepada Allah orang-orang beriman harus bertawakkal" (At-taubah : 9:51)

Dan kalau-kalau saya tersalah memilih keputusan mutakhir ini, jangan salahkan saya.

Kerana

Saya tidak pernah tahu!!!

post signature

| Hayyu El-Asyir | 07.28pm | tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/


ANWAR PALING LAYAK TERAJUI PAKATAN

. 14 Jun 2010
0 comments

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak mahu menjadi pemimpin nombor satu dalam Pakatan Rakyat jika mereka berjaya menawan Putrajaya.

Sebaliknya menteri besar Kelantan itu berkata orang yang paling layak meneraju pakatan ialah penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.

"Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata Anwar juga lulus dari segi moral.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas saranan seorang perwakilan pada muktamar ke-56 PAS yang berakhir semalam agar menteri besar Kelantan itu dilantik peneraju pakatan pembangkang berasaskan kewibawaan dan kejayaannya memimpin Kelantan selama 20 tahun.

Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu.

Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Islam yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Abdul Aziz berkata: "Tidak mengapa, saya terima dari segi sifat orang melihat saya."

Sumber : Bernama

post signature

ANDA PERMATA KELUARGA

. 08 Jun 2010
0 comments

Ada satu perkara yang ingin saya sampaikan kepada semua kawan-kawan saya di Mesir.

Anda adalah permata dalam keluarga anda. Jadilah permata yang benar-benar bernilai untuk mereka.

Orang yang tidak pernah hidup di sini mungkin tidak nampak apa keistimewaan Mesir. Walaupun dia mempunyai banyak maklumat tentangnya.

"Memahami tidak menderitai." -- Waza

Setiap jiwa yang saya kenal yang datang ke Mesir pasti ada sesuatu yang istimewa dalam diri mereka.

Padahal banyak lagi tempat lain di muka bumi ini yang lebih selesa untuk didiami. Tapi Mesir tetap juga menjadi pilihan sungguhpun mereka sudah tahu akan berdepan dengan seribu kepayahan.

Bagi yang belum tahu, Mesir menjanjikan pelbagai turun naik emosi yang kita tidak jangka. Dari situ kita belajar erti kehidupan yang sebenarnya.

Buat kawan-kawan, lakukan yang terbaik walau apa saja yang anda lakukan di Mesir ini.

Dan jangan lupa doakan kebaikan untuk saya disini.

Sumber : DISINI

post signature

MEMBINA INDUSTRI TERJEMAHAN

. 05 Jun 2010
1 comments

Dengan tajuk ‘Usaha Membina Kepustakaan Melayu: Perspektif Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM),’ kertas dasar pertama yang dibentangkan pada Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-11 di Kuala Lumpur semalam, menumpukan usaha meningkatkan bilangan buku dalam bahasa Malaysia melalui aktiviti penerbitan buku yang diterjemah.

Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh yang membentangkan kertas itu menggaris lima cabaran yang perlu dihadapi bagi memastikan aktiviti penterjemahan di Malaysia dapat digerakkan dengan pantas.

Langkah segera menangani cabaran ini, kata beliau, amat perlu, memandangkan Malaysia agak perlahan dalam menghasilkan karya terjemahan berbanding negara maju seperti Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan juga negara jiran, Indonesia.

Kepentingan menterjemah buku daripada bahasa lain, sama ada daripada bahasa negara Barat mahupun bahasa di Asia dianggap mendesak berikutan bilangan buku yang ditulis oleh penulis tempatan adalah tidak mencukupi, bukan sahaja dari segi jumlah, tetapi juga dari segi kepakaran.

Keadaan ini, ditambah lagi dengan sebuah kajian profil pembaca pada tahun 2005, yang mendapati rakyat Malaysia, kebanyakannya berumur di bawah 40 tahun, semakin tidak banyak membaca, iaitu pada kadar dua buah buku setahun.

Kadar literasi di kalangan penduduk turut meningkat kepada 98 peratus dan faktor-faktor ini jelas menunjukkan lebih banyak buku diperlukan bagi menampung peningkatan celik huruf ini.

Ketika membentangkan kertas dasar itu, Wan Hashim menjelaskan cabaran pertama melibatkan usaha menghasilkan terjemahan berkualiti yang mempunyai gaya bahasa yang betul. Dalam masa sama, tegasnya, terjemahan itu mesti menepati cita rasa pembaca yang mempunyai latar belakang budaya dan pendidikan berbeza.

Beliau menyatakan cabaran kedua yang turut dihadapi semenjak 14 tahun penubuhan ITNM ialah memastikan buku yang sudah diterjemahkan dan diterbitkan dapat habis dijual di pasaran. Masalah ini wujud berikutan sikap rakyat negara ini khususnya pelajar yang gemar membuat salinan fotokopi buku asal walaupun tahu ia menyalahi Akta Hak Cipta.

ITNM juga, katanya, mahu belajar daripada pengalaman Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memastikan ia tidak mengulangi masalah lambakan buku terjemahan di pasaran hingga menimbulkan masalah penyimpanan di gudang.

Cabaran ketiga, yang dihadapi oleh organisasi terjemahan buku ilmu seperti ITNM dan penerbit-penerbit universiti ialah masalah pembiayaan.

Sesetengah projek yang rumit memerlukan dana besar dan pelaburan yang tinggi dari segi kewangan, masa dan tenaga manusia. Namun begitu, Wan Hashim melahirkan kelegaannya kerana buat pertama kali, untuk tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ITNM mendapat peruntukan khas daripada Kementerian Pelajaran bagi meningkatkan usaha penterjemahan ke bahasa Malaysia dan karya agung Melayu ke bahasa asing.

Ini tentu berita yang baik, namun usaha seperti ini, ujar beliau, sepatutnya bukan sahaja melibatkan sektor kerajaan tetapi seharusnya diperluaskan kepada pihak swasta.

Cabaran keempat yang turut menjejaskan usaha mempercepatkan kegiatan penterjemahan ialah kekurangan penterjemah bagi menterjemah buku-buku ilmu selain bahasa Inggeris dalam bidang khusus tertentu, ke dalam bahasa Malaysia.

Menurut Pengerusi ITNM itu, kepelbagaian terjemahan dalam bahasa selain bahasa Inggeris adalah penting kerana sumber ilmu juga datang daripada pelbagai bahasa lain di Eropah, Asia mahupun Afrika.

Cabaran terakhir, katanya, ialah sikap masyarakat yang kurang menghargai mereka yang terlibat dalam aktiviti terjemahan sehingga menyebabkan tidak ramai yang ingin melibatkan diri dalam kerjaya berkenaan.

Persidangan selama tiga hari anjuran ITNM dengan jurnal Pemikir terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Utusan sebagai rakan media yang bermula semalam dihadiri 350 peserta dari 12 buah negara.

Sepanjang persidangan bertemakan ‘Membina Kepustakaan Dalam Bahasa Melayu,’ sebanyak dua kertas dasar dan 76 kertas kerja yang mencakupi 14 bidang dibentangkan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan dalam kertas dasar kedua bertajuk ‘Membina Kepustakaan Melayu Melalui Terjemahan’ pula menyentuh mengenai industri penterjemahan di Taiwan yang boleh dijadikan sebagai contoh.

Pada masa ini pasaran buku negara itu bernilai RM3.8 bilion setahun dan pada tahun 2000 ia telah menerbitkan 38,000 tajuk buku baru. Yang sangat ketara dan memeranjatkan ialah 8,000 daripada tajuk itu datang daripada buku asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin.

Jumlah ini adalah sangat besar jika dibanding bilangan buku yang mampu diterjemahkan oleh ITNM sejak 1993, yang hanya sebanyak 153 tajuk. Apa yang diperhatikan, jelas beliau, sebilangan besar daripada 100 buku terlaris yang dijual di kedai-kedai buku besar di Taiwan, datangnya daripada karya terjemahan.

Menurut Abdullah, negara ini perlu belajar daripada Taiwan, bagaimana ia yang hanya berpenduduk kira-kira 20 juta orang dapat menghidupkan industri perbukuan khususnya yang melibatkan karya terjemahan.

Sebab utama, kerana negara itu mempunyai bilangan pembaca ramai yang masing-masing sanggup berbelanja lebih daripada RM450 setahun untuk membeli buku. Buku-buku terjemahan yang diterbitkan di negara itu juga tidak mahal dan kualitinya sangat baik. Ini terbukti, apabila buku setebal 200 halaman berkulit nipis hanya berharga sekitar RM18 hingga RM23 senaskhah.

Di samping itu, sambutan menggalakkan juga berpunca kerana syarikat penterjemah akan melakukan tinjauan pendapat orang ramai terlebih dahulu bagi memastikan hanya buku-buku yang digemari sahaja diterjemah.

Pengalaman Taiwan itu, ujar Abdullah, membuktikan bidang penterjemahan memang boleh menjana industri besar. Ia boleh dimantapkan lagi sekiranya ada langkah proaktif untuk membentuk badan khusus bagi menyelia industri ini iaitu Lembaga Perbukuan Negara.

Ini masa yang tepat, berikutan jualan buku dalam bahasa Malaysia makin meningkat dan laris seperti buku berbahasa Inggeris.

Sumber : DISINI

post signature

Related Posts with Thumbnails
    follow me on Twitter