HATI DEKAT HATI JAUH

. 24 Disember 2011
0 comments

Pernah atau tidak anda melihat orang yang sedang marah atau orang yang sedang bergaduh?


Ataupun anda sendiri yang pernah bergaduh?

Cuba kita perhatikan.

Orang yang sedang marah biasanya akan meninggikan suara mereka, menengking, berteriak dan menghamburkan kata-kata dengan kuat. Itu kelaziman orang yang sedang marah apabila mereka telah hilang sabar.

Tetapi,

Kebiasaannya, orang yang dimarahi itu tidaklah berada jauh di balik gunung atau di balik bukit malah saling berhadapan di antara satu sama lain.

Jadi, kenapakah mereka perlu meninggikan suara dengan kuat kepada orang yang dimarahi itu? Mengapa perlu berteriak? Mengapa tidak bercakap lembut? Tidak dengarkah?

Ya. Inilah dikatakan hati jauh.

Ketika manusia dibakar dengan api kemarahan dan kebencian, nafsu ammarah manusia telah menutupi jarak hati manusia yang dekat dengan bayangan fatamorgana yang kelihatan amat jauh. Semakin dihampiri, semakin menjauhi.

Begitulah hati manusia apabila telah dikuasai ammarah, akan menyebabkan jarak antara dua hati menjadi sangat jauh walaupun hakikat zahir luaran adalah sangat dekat.

Maka tidak hairanlah jika ditinggikan suara dan ditengking keras kerana jarak hatinya terlalu jauh.

Semakin ditengking, semakin kuat.

Semakin kuat, semakin jauh.

Itulah hati jauh.

HATI DEKAT

Cuba kita perhatikan situasi kedua.

Dua orang yang sedang bercinta. Suami dan isteri.

Orang yang berkasih sayang biasanya jarang meninggikan suara. Mengangkat suara keras. Berteriak. Tidak sama sekali!!!

Orang yang bercinta atau berkasih sayang akan menghamburkan bahasa yang halus, lembut dan perlahan.

Mereka berbicara dengan bahasa mulus yang keluar dari hati ke mulut yang kadang-kadang hanya berdesir halus lembut tetapi masih dapat difahami dan dirasai walaupun kedua jasad insan berada jauh antara dua benua.

Seperlahan manapun bicara itu, ia masih mampu dirasai, dihayati dan difahami.

Kenapa begitu?

Kerana hati mereka dekat. Hati mereka tidak berjarak.

Kadang kala tidak perlu bait kata mengungkap. Cukup sekadar sebuah pandangan dan kelingan. Ia sudah mampu mengungkap kata yang tersirat.

Inilah hati dekat.

Di antara hati dekat dan hati jauh, kita perlu membuat pilihan.

Ketika kita sedang dilanda kemarahan dan kebencian, janganlah hati kita mencipta jarak dan ruang yang jauh. Lebih-lebih lagi dengan kata-kata yang mencampakkan jurang dan jarak yang jauh di antara hati kita.

Ingatlah!!! Di saat itu, diam adalah cara yang paling bijaksana dan berkesan. Kerana waktu akan membantu kita.

Marilah kita merapatkan hati-hati kita. Simpulkan ia supaya tidak mudah terelai dan terputus apabila disenjah keras.

Untuk anda yang disayangi dan menyayangi,

Semoga hati-hati ini dekat-dekat saja walau kita jauh berbenua-benua... =)

post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |

| Suqq Sayyarat | 241211 | 12.37 pm |

BAHASA KASIH SAYANG LAKI-LAKI

. 18 Disember 2011
0 comments


Kaum lelaki biasanya jarang-jarang mempamerkan bahasa dan tingkah laku kasih sayangnya kepada orang lain di sekitarnya.

Kasih sayang kepada keluarga.

Kasih sayang kepada rakan-rakan.

Bukan tidak sayang. Tapi malu dan segan-segan. Lelaki itu kasih sayangnya mahal. Bukan kedekut. Tetapi berharga.

Ya. Mungkin sedikit ego. Tetapi, lelaki sebenarnya mempunyai nilai kasih sayang yang cukup tinggi dan mendalam.

BAHASA KASIH SAYANG ORANG ARAB

Ada satu keistimewaan pada bangsa arab yang lazim mereka lakukan dalam muamalat kehidupan seharian mereka.

Bahasa dan ungkapan cinta sentiasa membasahi perbualan dan cakap-cakap mereka seharian.

Biasa saja kita dengar setiap hari apabila dua insan bertemu.

"Zayyaka ya basya ya habibi albi?"

(Apa khabar wahai kekasih hatiku?)

"Wahesytini awi"

(Aku sangat-sangat rindu kepada kamu)

Kalaulah kita (orang melayu), menyebutkan ungkapan cinta sebegini, pasti saja ada yang luga dan nak muntah kan?

Bukan setakat itu sahaja. Malah setiap kali bertemu, pasti saja dua pipi akan bertemu lembut dua atau tiga kali.

Kalaulah kita (orang melayu), pasti akan dicemuh dikata. Kadang-kadang melampau sehingga dikatakan dua alam.

Inilah salah satu keistimewaan bangsa arab yang mempraktikkan bahasa kasih sayang dalam kehidupan seharian yang dianjurkan oleh Baginda Nabi Rasulullah SAW.
"Tidak (sempurna) iman seseorang dari kamu jika kamu tidak mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri"

KENAPA MALU

Seharusnya komuniti umat Islam lebih mempraktikkan bahasa dan tingkahlaku kasih sayang ini kepada saudara-saudara kita sesama Islam.

Bukankah ini cukup menjernihkan pandangan umat dan menyejukkan mata memandang?

Nilai kasih sayang melahirkan kesatuan umat yang utuh, kukuh dan padu. Sejarah golongan sahabat Nabi Muhammad SAW telah berjaya mendepani sosiologi umat dan ketamadunan manusia melalui nilai kasih sayang.

Kasih sayang mereka bersama dengan para sahabat melalui tutur kata yang lembut, halus, baik dan sopan.

Tingkah laku yang jujur dan beradab.

Sentuhan dan bahasa badan yang menunjukkan sifat kasih dan belas yang mendalam.

Maka, dengan pengamalan nilai kasih sayang dalam kehidupan mereka ini, menjadikan mereka umat yang mulia dan dihormati.

Justeru itu, jangan malu untuk mengucapkan perkataan kasih dan sayang sesama kita.

Tapi bukan pula pada kasih sayang yang berlainan gender yang tidak dihalalkan.

Jom kita berkasih sayang!!!

Marilah kita ungkapkan bahasa kasih sayang kepada sesama sahabat-sahabat kita.

Esok, saya akan ungkapkan bahasa kasih sayang kepada anda!

Jangan ada yang luga dan muntah pula!!!

Kata ukhuwwah...!!! =)

Bukan ukhuwwah geli-geli...haha

post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |

| Suqq Sayyarat | 181211 | 7.42 pm |

AJAIB URUSAN ORANG MUKMIN

. 15 Disember 2011
0 comments

Orang Mukmin dan orang kafir mempunyai dua pandang berbeza dari sudut pengaturan, pengamatan, ketetapan dan nilai dalam kehidupan mereka.

Ini bermula dengan skop pandang faham bagaimana mereka menerima nilai yakin dan percaya terhadap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan mereka.

Orang Mukmin melihat segala sesuatu yang berlaku adalah dengan ketentuan, kehendak serta ketetapan Allah yang Azali.

Orang kafir pula melihat sesuatu yang berlaku mengikut tabi'e semulajadi kehidupan serta hasil usaha tangan mereka. Jika berjaya, gembira. Jika gagal, berduka. Jika senang, lapang. Jika susah, sempit. Jika sihat, bersenang. Jika sakit, merintih. Begitulah sifirnya.

Disinilah berbezanya urusan manusia.

Beza antara manusia yang bertuhan dan juga manusia yang tidak bertuhan.

SEMUA URUSAN ADALAH BAIK

Nabi Muhammad SAW telah memberitahu kepada kita tentang keajaiban ini. Nilai keimanan dalam jiwa orang Mukmin telah memberikan indikator atau kekuatan dan keistimewaan yang luar biasa kepada orang Mukmin.

Perhatikan hadis ini,

Sifat orang mukmin dalam mengharungi sebuah kehidupan diasaskan dengan dua tonggak dan kunci utama.

1- Syukur atas nikmat/kesenangan.

2- Sabar atas ujian/kesusahan.

SYUKUR

Syukur secara definasi mudah adalah melahirkan rasa berterima kasih dan penghargaan apabila menerima sesuatu yang menyenangkan hati kita. Ini bahasa mudah.

Namun, terima kasih dan penghargaan kepada makhluk (manusia) adalah berbeza dengan syukur (terima kasih) kepada Tuhan.

Menurut perbahasan Al-Imam Al-Raghib, kalimah Syukur (شكر) itu adalah keterbalikan daripada kalimah (كشر) yang memberi maksud (الكشف) iaitu terbuka.

Apa yang terbuka disini?

Orang yang bersyukur adalah orang yang hatinya terbuka menerima apa jua pemberian dan kurniaan. Kecil atau besar. Sedikit atau banyak. Terima saja seadanya dengan hati terbuka.

Lawan SYUKUR adalah KUFUR.

Kalimah (كفر) bermaksud tertutup atau terhijab.

Orang yang bersyukur sentiasa nampak dan melihat. Sentiasa dapat melihat apa yang dia ada dan dia miliki.

Orang yang kufur sentiasa tidak nampak. Sentiasa tidak dapat melihat apa yang dia ada.

Orang yang bersyukur akan menghitung nikmat yang ada hingga tidak cukup lafaz Alhamdulillah dan ketaatannya pada membalas nikmat yang ada.

Orang yang kufur akan mengeluh dan kecewa dengan segala yang tiada di tangannya hingga datang pelbagai penyakit jiwa dan agama.

Inilah ajaibnya urusan orang Mukmin.

Apa yang diterima dan disyukuri, itulah kebaikan buatnya.

SABAR

Sabar pula biasanya adalah perasaan tahan diri dan cekal jiwa apabila kita menerima apa yang bertentangan dengan kehendak dan keinginan hati kita.

Sabar itu ada 4 bahagian :-

1- Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah.

"Dan sesungguhnya Kami hendak menguji kepadamu semua, sehingga Kami dapat mengetahui siapa di antara engkau semua itu yang benar-benar berjihad dan siapa pula orang-orang yang bersabar." (Muhammad: 31)

"Orang yang bersabar dan suka memaafkan, sesungguhnya hal yang demikian itu nescaya termasuk pekerjaan yang dilakukan dengan hati yang teguh." (as-Syura: 43)

"Mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 153)

2- Sabar dalam meninggalkan maksiat kepada Allah.

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada hitungannya - kerana amat banyaknya." (az-Zumar: 10)

3- Sabar atas Bala' dan cubaan

"Nescaya Kami akan memberikan cubaan sedikit kepadamu semua seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, kemudian sampaikaniah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 155)

4- Sabar atas Ilmu dan maklumat.

Iktibar kisah perjalanan ilmu dan maklumat Nabi Musa AS bersama Nabi Khaidir AS ini menuntun sifat cekal dan istiqamah yang sebenarnya dalam mencapai hakikat dan makna sabar.

DI MANA KEBAIKAN SABAR

Beza antara orang Mukmin dan orang kafir dalam menghadapi bala' adalah bagaimana hati dan jiwa menerima ujian tersebut.

Orang Mukmin yang redha akan menerima pahala berganda. Satu, pahala menerima ujian. Dua, pahala bersabar. Tiga, pahala berdoa mengharapkan pelepasan ujian. Empat, pahala memohon ampun taubat atas kesalahan.

Semakin dekat pada Tuhan.

Semakin baik akhlak.

Orang kafir yang merintih pula membinasakan dan memusnahkan diri mereka. Minum arak, mabuk, dadah, ubat tidur, depression dan sebagainya.

Orang Mukmin, sabarnya adalah penghapus dosa.

Orang kafir, rintihnya menambah dosa.

Ketahuilah,

Sabar yang sebenarnya adalah yang tiada pengaduan padanya, tiada rintihan padanya melainkan kepada Allah.

Itulah sebenar-benar sabar.

Ajaib sungguh urusan mukmin!!!.

Apa jua bencana dan kesusahan yang diiringi dengan sabar, itulah juga kebaikan untuknya.


Jangan menangis ya bila diuji... =)

KEBAHAGIAAN HIDUP

Syukur dan Sabar,

Kunci utama kebahagiaan hidup...

post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |

| Suuq Sayyarat |151211 | 6.11 pm |

SEKEPING NOTA

. 13 Disember 2011
0 comments

Mesir sentiasa saja setia dengan hiruk-pikuknya setiap hari. Jarang sekali terasa tenang dan damai. Suasana sesak sentiasa. Malah kadang-kadang membawa sesak juga di jiwa.

Hari ini kuliah selesai jam 2.30 petang.

Kemudian terus ke Masjid Al-Azhar untuk Solat Asar.

Selepas solat, saya menerawang menengung-nengung sambil berehat di beranda masjid sementara menunggu untuk kelas yang seterusnya selepas Maghrib nanti.

Angin sejuk sangat menderu menyapu pipiku yang gebu ini. haha

Sungguh asyik sekali.

Hampir membawa kepada tidur dan terlena.

Selepas azan Maghrib, tatkala ingin masuk ke dalam rihab tempat solat, tiba-tiba ada seorang adik comel menghulurkan saya sekeping kertas.

" Apa ni ?" Tanya saya sopan. (Sopanlaa sangat...hehe)

" Hadis " Jawabnya santai.

" Kenapa bagi kat saya??? "

" Saya tengok abang dari Asar tadi asyik termenung sampai ke Maghrib "

Erkkk.

Terpaku.

Tak terkata apa saya.

Syukran adik comel... =)

post signature

Related Posts with Thumbnails
    follow me on Twitter