PEMUDA JANGAN PERASAN TUA

. 31 Mei 2010
0 comments

"Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!"

Ungkapan ini pernah dilaung-laungkan pada zaman 1960an dahulu. Ungkapan ini juga membuktikan mahasiswa pada zaman tersebut cukup berperanan dalam mengubah sosiopolitik setempat. Lipatan sejarah telah membuktikan bahawa mahasiswa mempunyai kepentingan mereka dalam menjadi agen perubah.

Pepatah arab ada menyatakan

"Pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan"

Saya suka untuk mengungkapkan pemuda dengan kalimah mahasiswa..

ISLAM DAN MAHASISWA
Islam meletakkan pemuda di tempat yang tinggi. Barisan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan. Malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Allah berfirman:-

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

"Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka." (Kahfi:13)

Keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda. Ini disebabkan pemuda bakal berhadapan dengan kewajipan yang maha banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda, malah di zaman muda ini jugalah amanah yang dipikulkan ke atas bahu mereka itu akan menjadi bertambah berat.

Jika disingkap kembali sejarah, Rasulullah SAW dibangkitkan dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahiliyah. Bahkan Baginda SAW juga adalah pemuda yang memimpin perubahan.

Mereka sanggup menyingsing lengan dan berhadapan dengan penguasa yang zalim. Madrasah Nabi Muhammad saw telah melahirkan ramai pemuda-pemuda dakwah.

Diantaranya Mus`ab bin `Umair, Talhah bin `Ubaidillah, Zubair bin Al Awwam, Saidina Abu Bakar, Uthman bin `Affan dan Arqam bin Abi Arqam. Mereka adalah anak-anak muda yang terasuh dengan semangat kental oleh baginda SAW.
Di antara nikmat yang perlu dijaga sebagaimana yang disebutkan oleh baginda SAW di dalam hadith adalah nikmat muda. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Pemuda juga adalah golongan yang sentiasa berdampingan dengan Nabi Muhammad SAW..

KEBANGKITAN MAHASISWA SELURUH DUNIA

Sejarah dunia ini dilakarkan warnanya oleh anak-anak muda. Mereka mempunyai kekuatan semangat, cita-cita, keazaman, dan idealisma untuk merubah dan menjadi agen perubah.

Jose Rizal lewat karyanya `Noli Me Tangere` (1887) menjadi ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan beliau secara tragis.

Di China, tokoh-tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao dan Cen Tu Shiu menjadi penggerak kepada Peristiwa 4 Mei 1919. Ia berjaya meledakkan kebangkitan komunsime sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949.

Begitu juga di Rusia, anak-anak muda kampus melakar sejarah apabila menggerakkan Revolusi Bolshevik 1917 kesan dipengaruhi doktrin komunis.

Negara jiran Malaysia, iaitu Indonesia turut tidak ketinggalan. Anak-anak muda melatari perjuangan menentang penjajah Belanda. Diketuai oleh Raden Anjeng Kartini dengan gerakan sosialnya, malahan beliau meninggal dunia pada umur yang sangat muda.

Siapa yang tidak mengenali Soekarno. Beliau merupakan pemimpin mahasiswa dinamis keluaran Kolej Teknologi Bandung. Pidatonya yang memukau telah membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di bawah panji `sang saka Merah putih` seterusnya memimpin perang Revolusi 1945 sehingga membawa kepada kemerdekaan Indonesia.

Satu lagi gerakan yang dominasi di Indonesia ialah angkatan muda dalam Majlis Syura Muslimin (MASYUMI) yang meniupkan semangat jihad kepada anak-anak muda untuk menentang penjajah dan menegakkan syariat Islam di Indonesia.

Di Mesir, tokoh seperti Syeikh Muhammad Abduh yang berlatarkan Universiti Al Azhar mengembangkan idea `Pan Islamisme` berhadapan dengan pemecatan beliau dari Universiti tersebut akibat aura Pan Islamisme yang mengancam hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir.

Hassan Al Banna (1906-1949) juga masih muda ketika menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah pada 1928 sehingga ianya sangat fenomenal pada abad ke 20.

Pada tahun 1933, pusat gerakan IM dipindahkan ke Kaherah untuk menyebarkan pengaruh kepada seluruh mahasiswa seluruh dunia yang menuntut di Al Azhar. Ternyata ianya berhasil apabila fikrah Ikhwan dan idea perjuangan mereka dibawa ke negara masing-masing.Bumi bertuah Malaysia turut melalui zaman kegemilangan tersebut. Lepasan Al Azhar yang pulang ke tanah air menjadi nadi utama dalam membebaskan Tanah Melayu pada ketika itu dari penjajah.

Syed Syeikh Al Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Abbas Kali adalah di antara yang mempelopori gerakan pada masa itu. Dr Burhanuddin Al Helmi turut mewarnai politik Malaysia apabila melonjakkan momentum perjuangan kemerdekaan Tanah melayu.

Kepulangan beliau dari India membawa bersama idealisme tokoh-tokoh nasionalis di sana. Kritikan bernas beliau terhadap Inggeris menerusi akhbar Taman Bahagia menyebabkan beliau dipenjara pada tahun 1937.

Di beberapa negara lain seperti Thailand, Burma, Afghanistan dan Algeria, masing-masing menyaksikan peranan mahasiswa yang cukup besar dalam membentuk sosio politik sesebuah negara. Apabila ada pihak yang cuba menafikan peranan mahasiswa, barangkali mereka ini buta sejarah.

Kerana pemuda adalah agen perubah negara...

Sumber : DISINI

post signature

ULAMA UMNO BAKAR KAPAL

. 29 Mei 2010
0 comments

Saya bukan orang politik. Bukan aktivis mana-mana parti. Saya seorang rakyat yang memerhati perkembangan pemikiran Islam dalam negara ini.

Artikel ini akan menyebut istilah ulama Umno atau ulama pro-Umno. Walaupun istilah ini umum, namun saya mengecualikan mereka yang ikhlas dan tidak bersikap seperti yang disebutkan nanti.

Wajah-wajah jijik UMNO

Saya tidak faham mengapakah Umno kebelakangan ini suka berkeras mengambil pandangan-pandangan agama yang bersifat perkauman dan amat konservatif.

Dulu mereka lebelkan PAS demikian. Namun hari ini apabila PAS mula membuka ufuknya, melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas, Umno pula yang cuba kembali ke zaman ortodoks tersebut.

Ya, memang masih ada dalam PAS sendiri kelompok yang 'ala ulama Umno' hari ini, yang juga mengurung diri dengan pandangan-pandangan yang agak konservatif dan menolak keluasan ijtihad.

Namun suara pembaharuan dan keterbukaan jelas kedengaran dalam PAS. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi bersendirian dengan pandangan-pandangan pembaharuannya.

Pelik, sebagai pemerintah, mengapa Umno menerima pandangan-pandangan yang sempit itu. Padahal pandangan-pandangan itu hanyalah tafsiran 'kurang luas' golongan konservatif agama, atau satu ijtihad yang boleh untuk dilihat atau dibandingkan dengan ijtihad yang lain.

Apakah kerana Umno merasakan bahawa mereka hanya mampu bernafas dalam iklim yang kurang 'oksigen keluasan ijtihad' atau hanya gas perkauman dan fahaman 'sempit' agama sahaja yang mampu menghidupkan Umno.

KESERASIAN WAJAH 1MALAYSIA

Atau, apakah ulama-ulama pro-Umno hanya mampu bernafas selagi parti itu dikurangkan oksigen keluasan berfikir? Atau, apakah Umno melihat rupa paras Islam dalamnya hanya mampu dilihat jika ia bersifat keras dan sokongan Melayu pun akan datang kepadanya dengan membakar isu-isu tersebut?

Dimanakah keserasian wajah 1 Malaysia Perdana Menteri dengan pendekatan Islam Umno hari ini?

Sebagai pemerintah bagi sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, oksigen keluasan ijtihad diperlukan oleh Umno. Mengapakah Umno menerima pendapat-pendapat yang menajamkan salah faham terhadap Islam di negara ini.

Dulu Umno menolak pihak yang membangkitkan tuduhan 300 ribu orang Melayu murtad serta menuduh individu dan institusi itu dan ini sebagai pusat Kristian.

Hari ini pendapat pihak seperti tersebut diterima pakai. Bahkan beliau dijadikan perlambangan ulama pro-Umno. Atau memang Umno kini berminat dengan perdekatan yang sifatkan media antarabangsa sebagai 'ala-ala Taliban'?

Segala tudingan Umno dahulu kepada PAS sebagai pembawa Islam sempit dan jumud, hari ini PAS hampir dapat membebaskan diri dan imejnya seumpama itu sedangkan sebaliknya Umno pula yang memakai seragam kejumudan dan kesempitan tersebut.

PEGUAM BUKAN ISLAMLihat, isu peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Media-media Umno membesar-besarkan isu ini seakan ia akan memusnah orang Islam.

Diambil pendapat pihak yang menyatakan bahawa itu akan mengelirukan umat Islam dan mengancam Islam. Saya ditanya oleh Utusan Malaysia, namun apabila saya beri pendapat yang berbeza, ia tidak disiarkan.

Isu itu boleh memberikan gambaran salah kepada bukan Islam, dan juga generasi baru Muslim mengenai Islam.

Bagaimanakah mungkin, universiti rasmi kerajaan UIAM memberikan sijil yang sah dalam bidang tersebut kepada peguam berkenaan, tetapi kerajaan yang sama menyatakan ia tidak boleh digunapakai?

Apakah ini secocok dengan keadilan Islam?

Kedua, bayangkan dalam sebuah negara Islam sepenuhnya yang hanya bertunjangkan Mahkamah Ssyariah, tiba-tiba kita beritahu bukan Islam tidak boleh menjadi peguam!

Apakah dalam negara yang berbilang agama ini, mereka akan pandang tinggi tentang konsep keadilan di mahkamah yang bersifat Islam seperti itu?

Peguam ialah pembela. Sesiapa sahaja boleh membela tertuduh di mahkamah Islam. Yahudi pernah menang kes menentang Saidina 'Ali dalam pertikaian baju besi.

Pada zaman Nabi SAW dan al-Khulafa al-Rasyidin, tiada sistem guaman secara rasmi. Seseorang boleh menuntut keadilan dengan hujah-hujahnya di hadapan hakim. Untuk membela atau berhujah, sesiapa pun boleh berhujah.

Penentunya, sistem kehakiman itu sendiri, bukan peguam. Di zaman kini lebih jelas. Undang-undang telah dienakmenkan. Ia bertulis dan setiap pihak terikat dengan undang-undang bertulis itu.

Sesiapa sahaja yang berhujah, sama ada Islam atau bukan Islam, mereka terikat dengan hal tersebut. Hakim akan menentukannya secara adil. Keadilan sebenar dapat diperolehi jika hakim adil.

Setiap pihak berhak membela diri, dan berhak meminta sesiapa sahaja yang mampu membelanya. Keadilan itu buta warna kulit dan jenis agama.

Islam yang seperti itulah patut digambarkan jika kita ingin menuju kepada Islamisasi negara yang sebenar. Jika ada beberapa peruntukan undang-undang yang kurang sesuai dalam masyarakat yang rencam ini maka ia perlu diubah.

Cara Umno mengendalikan isu tersebut, mengelirukan bukan Islam!

Jika tidak mahu benarkan, mengapa dia diizinkan melalui pengajian dan menghabiskan masa untuk itu, kemudian dimaklumkan 'sijil awak tidak laku'.

Ulama pro-Umno bising. Menariknya, apabila ada orang yang ditahan tanpa diberikan hak perbicaraan, mereka diam! Tidakkah ini mengelirukan Islam dan bukan Islam?

Jika ini tidak diubah, Islam di negara ini terus menjadi defensive, takut pada bayang-bayang sendiri dan gagal memahamkan bukan Islam tentang keindahan Islam.

Lebih 50 tahun Umno memerintah, generasi baru bukan Islam bertambah prejudis dengan Islam yang dibawa oleh Umno. Golongan muda Islam juga demikian.

Agama dijadikan senjata permusuhan, bukan lagi rahmat yang menimbulkan kedamaian dan keyakinan rakyat kepada keindahan Islam.

Jika tanpa pendakwah-pendakwah dan tokoh-tokoh yang ikhlas menjelaskan tentang hakikat Islam sebenar, tentu bukan Islam bertambah prejudis kepada Islam.

Generasi Islam yang terpelajar juga akan mula mempersoalkan Islam seperti ini.

ISU KALIMAH ALLAH

Isu kalimah Allah juga demikian. Ulama pro-Umno, termasuk 'ala Umno' yang berada dalam PAS membakar rakyat awam dengan isu ini.

Sehingga ada ulama pro-Umno yang cuba mengkafirkan orang lain dalam isu nama Allah tersebut. Tidak cukup dengan 300 ribu yang dimurtadkan dulu, ditambah pula ahli politik yang cuba dijadikan murtad baru.

Semuanya kerana tafsiran yang sempit. Padahal, isu itu boleh diselesaikan dengan adil dan saksama. Diraikan hak agama lain dan dibuat beberapa peraturan untuk ketenteraman awam. Saya sendiri telah menggaris panduan dalam media. Bukan Islam ramai yang setuju.

Namun, ada yang cuba bermain sentimen rakyat yang kurang faham.

Media Umno pula hanya menerang pendapat sebelah pihak. Namun sekarang apabila melihat kekalahan di Sibu yang membabitkan penduduk Kristian, Umno mula gelisah. Apakah Umno akan meminta fatwa baru dari 'mufti' yang setia berkhidmat itu?

ISU MASUK MASJID
Isu bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid juga dipopularkan oleh media Umno. Padahal larangan bukan Islam masuk masjid hanya salah satu pendapat dalam kalangan ulama.

Ulama hadis ramai berpendapat sebaliknya. Ini disebabkan hadis-hadis menunjukkan bukan Islam pada zaman Nabi SAW masuk ke dalam masjid dan mempelajari Islam.

Jsuteru, di zaman kini yang banyak salah faham terhadap Islam, mereka lebih patut dibenarkan masuk.

Cumanya, letakkan beberapa peraturan atas asas siyasah syar'iyyah (islamic administration). Namun, jika apabila dikemukakan pendapat bahawa bukan Islam boleh masuk ke masjid, bangkitlah ulama-ulama pro-Umno dengan fatwa-fatwa ketat dan seakan hendak berjihad mempertahankannya.

Malang sekali, apabila timbul isu judi bola sepak, tidak pula mereka berani lantang dan tegas. Tidakkah ini mengelirukan? Apa tidaknya, apabila bukan Islam hendak masuk masjid dihalang, tapi apabila diberikan keizinan berjudi didiamkan!

ISU SEBATIsu sebat tiba-tiba muncul. Dulu Umno sensitif dengan hudud. Dalam persekitaran yang ada, saya juga fikir PAS tidak perlu menegaskan isu hudud. PAS sejak dulu patut angkat isu keadilan seperti mereka lakukan sekarang.

Keadilan itulah objektif. Hudud adalah mekanisma yang boleh diselaraskan apabila keadaan wajar.

Hukum yang baik untuk tempat yang sesuai. Sama seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jika wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat, kepincangan akan berlaku.

Demikianlah hudud. Saya telah beri pandangan dalam masalah ini.

Tapi kini, tidak semena-mena tanpa mukadimah yang jelas agar rakyat faham, Umno mencanangkan isu sebat Kartika dan tiga wanita di Wilayah Persekutuan.

Menurut laporan media, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kata, sesiapa hina hukum sebat adalah murtad kerana ia hukum Allah. Namun, apabila Sultan Pahang batalkan hukuman, beliau berkata itu hak Sultan.

Saya telah beri pandangan dalam kes ini, boleh rujuk laman web saya. Keajaiban ulama dalam media Umno!

PERARAKAN MAULID

Apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat kata perarakan maulid bukan galakan agama, media Umno dan ulama pro-Umno membuat ulasan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diserang. Walaupun saya ketika itu menulis dalam Mingguan Malaysia, saya memberikan pandangan yang berbeza.

Artikel saya 'Melayu dan Mamak Penang' boleh dirujuk. Media Umno jadikan seakan isu itu benteng Melayu-Islam di Malaysia.

Di Kelantan, lebai entah dari mana datangnya, pun menulis di Mingguan Malaysia kononnya Nik Aziz - Wahabi disebabkan isu-isu seperti ini.

Bisinglah mereka. Malangnya, media dan ulama pro-Umno tidak pula bising keruntuhan moral muda-muda Melayu-Islam saban tahun disebabkan perhimpunan pesta sambutan tahun baru yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik!

Inilah ulama yang pro-Umno sekarang. Apakah mereka ini dapat menarik perhatian generasi baharu Islam dan bukan Islam kepada Islam?

BARAH

Banyak lagi isu lain jika hendak disebutkan yang membabitkan ulama dalam Umno.

Saya bukan anti-Umno tetapi inilah realitinya. Saya ramai sahabat dalam Umno. Kepimpinan Umno bermula dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga ke lapisan bawah, ramai yang baik dengan saya. Tapi ini realiti. Kritikan saya untuk semua. Kali ini khas untuk Umno.

1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib akan tenggelam dibakar oleh pemikiran sempit dan berkepentingan oleh sesetengah ulama Umno ini.
Malang sekali, di kala rakyat Malaysia mula bersikap terbuka, memahami Islam dari kerangkanya yang luas, menelaah ijtihad yang berbagai dan bersedia untuk berhujah secara matang, Umno memilih fatwa atau pandangan yang kian sempit dan berkepentingan.

Dunia sudah terbuka disebabkan media baru, Umno cuba kembali ke zaman selepas kemerdekaan.

PAS yang dahulunya dilihat kolot, mula dipenuhi dengan tokoh-tokoh politik Islam yang kian matang dan mampu mengadaptasi Islam dalam lakarannya yang luas. Pada masa yang sama Umno sedang kerumuni oleh sesetengah mereka yang 'narrow-minded' dan melihat Islam dalam kerangka perkauman.

Bolehkah 1 Malaysia tajaan Perdana Menteri berjaya jika ini terus berlaku. Generasi muda Islam dan bukan Islam telah jauh ke hadapan meninggalkan kesempitan ini. Islam dalam kerangkanya yang lebih universal akan mengambil tempat.

Ulama Umno sebenarnya sedang membakar kapal sendiri dan menenggelamkannya. Perdana Menteri, patut menilai semula agenda 1 Malaysia!

Sumber : DISINI

post signature

TERIMA KASIH

. 19 Mei 2010
3 comments

"Sekarang anakanda sudah dewasa"

Ini adalah sebahagian daripada ayat-ayat keramat yang dihantar ibu dalam sms semalam (15 Mei 2010).

Ayah saya juga turut menghantar mesej ucapan keramat tetapi terdahulu daripada ibu.

Terima kasih. Segala nasihat, akan anakanda pegang dan praktikkannya dengan sebaik mungkin.

Terima juga untuk rakan-rakan.

Terima kasih juga kepada Usrah Medic kerana telah membuat kejutan untuk saya di Pizza King.hehe

Semoga Allah memberkati kehidupan kalian semua dunia akhirat.

Layan gambar... Zazzzzzz....

Sebelum dibawa ke tempat misteri

Inilah Pizza King 6 tingkat kami...hehe

Dr. Malek merasmikan pemotongan pizza.

Dr. Afuza sudah tidak tahan kelaparan. Makan sudu pon ok.

Dr. Fahami sempat pula berkaraoke sebelum makan...

Pasti anda tergoda, bukan???haha3x

Abaikan saja muka poyo saya itu. Nikmatilah kelazatan Pizza King disaat anda kelaparan...haha3x

Sedap hingga menjilat jari haaa

Ceramohs sket kat diorang nih... Tapi, ucapan saya bolok woks sebab kat Pizza King ni, arab pasang soudtrack Celion Dion, 'My Heart Will Go On'. Merdu, jiwang n mendayu-dayu gitu...

Gaya seorang bakal YDP berucap...

Si Comel ni sempat pulak posing time kami makan.

Dr. Anas, Dr. Najmi n Dr. Azam berbincang macamana nak tempah lagi pizza 7 tingkat.

Sekian, terima kasih...

TAMBAHAN :-

Ohh, sudah tua saya...

post signature

BERJALAN, MELIHAT, MENTAFSIR

. 07 Mei 2010
2 comments

Ini asalnya adalah posting yang lalu. Saya menukarkannya atas sebab-sebab tertentu.

Apabila mengembara, berjalan, melihat dan mentafsir, meninggalkan buku nota adalah satu kerugian.

Catatan perjalanan dan peristiwa mungkin saja menjadi kenangan terindah dan mungkin saja menjadi pengajaran jika itu adalah kenangan terburuk. Buku catatan perjalanan harus ada sentiasa.

Menulis tidak semestinya di buku nota.

Jadi, saya akan mengabadikannya dalam blog ini.

Mungkin untuk tatapan anak cucu saya nanti. Mendidik anak sebelum anak tiada. Sebelum kahwin. Kena faham itu!!!

Perjalanan melihat dan mentafsir akan sentiasa berterusan selama mana kita menjadi seorang hamba.

Tiada istilah berehat bagi pejuang.

Pejuang takkan letih kot!!!

TAMBAHAN :-

Jangan berhenti ngeblog!!!! (Kata sifu)

post signature

ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN

. 05 Mei 2010
0 comments

Pertemuan terakhir Muzakarah Berkelompok Ilmi pelajar perubatan beberapa hari lalu menguntum bergunung cita-cita dan harapan.

Muzakarah kami diberi tempoh berehat untuk memberi laluan kepada peperiksaan semester akhir tidak lama lagi.

Saya mendoakan kejayaan untuk semua.

Dalam pertemuan terakhir itu, kami membacakan hadis ke-4 daripada Hadis 40 An-Nawawi."Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):

Sesungguhnya setiap orang dari kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia.

Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka.

Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga."

Seputar perbahasan kami :-

1- Hikmah penciptaan manusia secara berperingkat-peringkat dan beransur-ansur adalah untuk mencapai kesempurnaan maknawi. Jika tiada istiqamah dalam pekerjaan, hasil mutlak tidak akan diperolihi.

2- Tidak boleh meletakkan seseorang itu istiqamah atau tidak dalam perjuangan sehinggalah dia telah meninggal dunia.

3- Seputar hukum penguguran janin dan kelahiran.

4- Empat ketentuan yang telah ditetapkan kepada manusia sebelum dilahirkan.

5- Usah dibimbangi kepada perkara yang telah ditetapkan. Siapa pasangan kita. Apa rezeki kita esok.

6- Amalan terakhir adalah faktor penentuan.

Saya sangat terkesan kepada isu istiqamah. Istiqamah adalah bentuk pencapaian yang paling sukar untuk diperolihi.

Ada sesetengah orang-orang pejuang yang menduga bahawa beliau sudah istiqamah.

Jangan terlalu yakin kawan!!!

Perasaan syok sendiri cukup bahaya. Menduga sebelum datang cubaan dan rintangan, bimbang-bimbang jatuh tersungkar rebah tidakkan terbangun lagi.

Jangan takbur, kelak diri kau lebur.

Walaubagaimanapun, saya meletakkan doa dan harapan agar nilai istiqamah ini tetap bersapa di hati-hati kita semua.

Sandaran yang telah diletakkan dalam setiap pertemuan, dalam setiap muzakarah, dalam setiap usrah, haruslah dipatri kukuh dan cuba untuk disebarluaskan.

Istiqamahlah dalam menuntut ilmu.

Istiqamahlah dalam perkara kebaikan.

Istiqamahlah dalam dakwah Islam.

Istiqamahlah dalam amal.

Dan yang paling penting,

Istiqamah dalam PERJUANGAN!!!

Selamat beramal...

TAMBAHAN :-

Tahniah kepada Usrah Medic kerana berjaya menjadi Kumpulan Usrah Terbaik dalam Futsal Inter Usrah baru-baru ini walaupun naqibnya tak pandai main futsal...hehe

post signature

JALAN PULANG

. 03 Mei 2010
1 comments

Kebanyakan filem atau lakon layar yang berasaskan genre keinsafan dan pengajaran, akan menggunakan latar masjid sebagai latar prolifik dalam plot penceritaan sesuatu filem.

Kenapa ya???

Sebagai contoh, Filem 'Syurga Cinta'. Di dalam filem ini, Masjid Wilayah Persekutuan dijadikan sebagai latar utama dalam merubah peribadi dan sikap Irham kepada prinsip kehidupan yang lebih baik.

Di masjid juga, Irham mendapatkan ketenangan serta hidayah dalam membantu mendekatkan diri kepada Allah.

Tapi, kenapa masjid???

Gambar di atas adalah gambar perjalanan saya menuju ke Jami' Nur, Abbasia. Salah satu tempat lokasi pengambaran Filem Ketika Cinta Bertasbih.

Saya pergi ke sana untuk menemui jalan pulang.

Di perjalanan ini, saya merasa lemah, futur dan tidak bersemangat.

Masjid adalah tempat diturunkan hidayah dan sumber ketenangan.

SESAT DALAM CAHAYA

Manusia pasti melakukan sekian banyak dosa. Tanpa terkecuali. Terkadang membuat dosa tanpa sengaja. Terkadang membuat dosa tanpa alasan. Dosa tidak semestinya yang dinampak besar-besar sahaja. Yang kecil juga turut memudaratkan.

Membuat kemungkaran dalam ketaatan.

Membuat kejahatan dalam kebaikan.

Membuat dosa dalam kepatuhan.

Apabila berbuat dosa, bukan bermakna mesti berputus asa untuk bertaubat. Allah lebih suka untuk mengampun daripada menghukum. Itu rahmat istimewa yang tiada pada hamba.

Itu yang perlu difahami.

Bila anda tergelincir di lebuhraya kehidupan,

Bila anda lemah di perjalanan,

Bila anda futur di perjuangan,

Kembalilah ke rumah Allah.

Kerana,

Ia adalah jalan pulang...

"Ya Allah, sesungguhnya engkau maha pengampun dan engkau suka kepada orang yang memohon ampun. Maka, ampunkanlah aku."

post signature

IP MAN

.
0 comments

IP MAN 2 sudah keluar panggung.

IP MAN adalah sebuah filem sejarah yang diadaptasi daripada peristiwa hitam penjajahan Negara Jepun ke atas bangsa cina.

Filem IP MAN mengarap jalan cerita yang cukup menarik dalam mengangkat seni bela diri cina. Ia dijadikan sebagai subjek yang mendokong semangat patriotism bangsa cina.


IP MAN 1 mengajak penonton kepada membenci kekejaman dan sikap imperialisma Jepun ketika menjajah China.

Dalam IP MAN 2 pula, ia mengajak penonton untuk membenci sikap sombong dan egois imperialis British terhadap masyarakat China di Hong kong.

Filem ini dilihat berjaya menghasilkan hasil karya seni yang berkualiti walaupun ia tidak mempunyai sebarang plot cinta seperti kebanyakkan dan kebiasaan filem lain.

Cuma, penerbit hanya mengangkat isu kebanggaan, kecintaan terhadap seni bela diri tradisional bangsa cina serta semangat kecintaan pada tanah air.

Hendak dibandingkan dengan filem kita???

Usahlah!!!

Filem kita terlalu bobrok dengan modal cinta dan kerosakan akhlak yang jelek...

Hukh tuihh!!! Kotor!!!

post signature

CINTA PEMIMPIN

. 01 Mei 2010
2 comments

Selepas pulang dari Malaysia beberapa tahun lalu, melihat pembangunan pesat Malaysia, Dr Ahmadinejad berikrar untuk terus membangunkan Republik Islam Iran.

Dalam satu pertemuan dengan beberapa rakyat kecil yang dianjurkan sebuah NGO, seorang wanita tua memberitahu :-

"Selepas tuan pulang dari Malaysia, saya bersumpah untuk terus bersama tuan. Saya membayar sedekah setiap bulan atas nama tuan. Tuan tidak keseorangan kerana saya mendoakan tuan sentiasa."

Wanita ini membuatkan Ahmadinejad menangis kerana terharu. Dalam ucapannya, wanita tua itu menunjukkan kecintaan yang luar biasa sekali buat pemimpinnya.

Menurut saya, belum ada kecintaan seperti ini untuk seorang pemimpin di sini.

Kerana belum ada kecintaan yang tulen, tulus, luhur dan murni daripada seorang rakyat untuk sebenar-benar pemimpin.

Yang ada ialah kecintaan berasaskan materi. Waima ia seorang ulama sekalipun.

Sumber : DISINI

post signature

Related Posts with Thumbnails
    follow me on Twitter