DEPRESSION

. 25 September 2011
1 comments

Kehidupan ini dihamparkan dengan seni dan corak pada dua perkara yang menghiasi jiwa.

Satu pada kebahagiaan dan kegembiraan.

Satu, pada kesedihan dan kedukaan.

Kehidupan ini tidak selalunya pada kegembiraan. Tidak sepanjang masa dalam kedudukan selesa jiwa dan perasaan. Ada masa dan ketikanya kita akan berhadapan dengan situasi yang tidak kita gemari. Situasi yang tidak selesa pada jiwa yang akan menyebabkan tekanan pada diri dan seterusnya menghasilkan DEPRESSION.

APA ITU DEPRESSION

Depression adalah sindrom kemurungan yang memberi gangguan kepada perasaan dan jiwa seseorang individu.

Gangguan perasaan ini boleh menjadi teruk dan tegar dengan suasana sekeliling yang 'membunuh' psikologi. Kebiasaannya, ia tidak dapat diatasi hanya dengan dihiburkan dengan keluarga.

Kemurungan juga tidak dapat dihapuskan hanya dengan semangat. Ia memerlukan rawatan yang rapi dan intensif bagi menghapuskan simptom-simptomnya. Kemurungan boleh berlangsung pada tahap yang lama sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

JENIS-JENIS KEMURUNGAN

1- REAKTIF
* Paling biasa terjadi.
* Disebabkan oleh trauma dan pulih dengan segera.

2- ENDOGENOUS
* Tidak dapat membiasakan diri dengan kehidupan seharian.
* Faktor tidak jelas dan mungkin disebabkan oleh genetik.

3- BIPOLAR DISORDER ( Penyakit bipolar )
* Penyakit kemurungan dan mania.

SIMPTOM-SIMPTOM

1. Kesedihan atau ‘kekosongan’ perasaan yang berpanjangan.
2. Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan.
3. Cepat rasa letih dan tidak bertenaga.
4. Perasaan pesimistik dan mudah berputus asa.
5. Perasaan bersalah dan tidak berguna.
6. Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur.
7. Hilang selera makan dan penurunan berat badan.
8. Rasa lebih baik mati, kadangkala disertai dengan percubaan bunuh diri.
9. Rasa tidak tenteram dan mudah marah.
10. Kurang daya tumpuan dan sukar untuk membuat keputusan.
11. Simptom-simptom fizikal seperti sakit kepala, sakit-sakit badan dan gangguan penghadaman.

MENGAPA MENGALAMI DESPRESSION

1. Kemurungan boleh berlaku dalam keluarga, persahabatan dan lain-lain.
2. Peristiwa atau kejadian yang menyebabkan seseorang tertekan.
Contohnya: Kematian ahli keluarga, gagal dalam peperiksaan, perceraian ibu bapa.
3. Penyakit kronik. Contohnya: Sawan, asma dan kanser.
4. Risiko kemurungan boleh meningkat dengan penyakit neurologi seperti strok, Penyakit Parkinson (Parkinson’s disease) atau multipel sklerosis dan juga tahun pertama selepas melahirkan anak.
5. Kecewa dengan fizikal atau penampilan yang tidak sempurna.
6. Ciri-ciri peribadi. Seperti tiada keyakinan diri, malu dengan kekurangan.
7. Penyalahgunaan dadah. Contohnya steroids, ubat cegah kanser dan sebagainya.
8. Masalah-masalah dan bebanan kehidupan.

MENCEGAH DEPRESSION

1. Belajar menjadi tenang dan bersabar.
2. Jangan terlalu ‘high expectation’ sehingga sukar dicapai.
3. Rancang tugas agar teratur.
4. Jangan terlalu mengharapkan sesuatu.
5. Elakkan bersendirian. Habiskan masa dengan orang yang tersayang.
6. Libatkan diri dengan aktiviti yang membolehkan anda berfirkir secara positif.
7. Setiap keputusan yang berat harus dibincang dengan pihak kedua dan melihatnya secara objektif. Ataupun mengambil keputusan setelah masalah kemurungan itu selesai.
8. Tingkatkan keyakinan diri dengan menyertai kursus motivasi.
9. Berusaha dengan membantu diri anda sendiri dengan sebaik mungkin.
10. Jangan menyalahkan diri sendiri jika menemui kegagalan
11. Jika anda mengenalpasti diri berada dalam kemurungan, jangan malu untuk mendapatkan bantuan daripada mereka yang pakar. Anda boleh berjumpa dengan kaunselor atau ahli psikologi bagi membantu anda.
12. Memperbaiki ibadat dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
13. Mencari waktu yang tenang untuk membina kekuatan. Contoh pada 1/3 malam.
14. Berdoa.
15. Berinteraksi dengan alam.
16. Berdampingan dengan orang soleh.
17. Bersama dengan kawan-kawan yang membantu dan membina.

Untuk merawat penyakit, haruslah kenali penyakit.

Moga depression yang telah sekian lama menempel dan berkubu pada jiwa, hati dan perasaan akan berakhir. Berakhirlah sekarang untuk kehidupan yang lebih indah.
Moga kehidupan sakinah itu milik kita!!!

P/S : Baca juga perihal Hamm & Hazan DISINI.

post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Suuq Sayyarat | 250911 | 3.16 pm |

BUKU NOTA

. 23 September 2011
0 comments

( Buku Nota baru )
Pepatah Arab ada menyebut,Pepatah ini menyebut tentang kepentingan mencatat dan mencatit sesuatu perkara supaya tidak terlepas ilmu dari tali ikatan ingatan kita.

Di antara cara menimba ilmu yang sangat bermanfaat adalah dengan menghimpun fawaid (faedah) atau isi penting dari apa yang kita dengar, dari apa yang kita lihat, dari apa yang kita baca dan sebagainya.

MANFAAT MENGHIMPUN FAWAID

Mengetahui intipati sesebuah bidang ilmu sangatlah penting dan bermanfaat sekali. Ini kerana, dengan hal itu kita akan terdorong untuk lebih memberi perhatian dan bersemangat untuk meraihnya. Antara manfaat menghimpunkan fawaid adalah :-

1- MENJAGA DAN MENGIKAT ILMU

Tulisan sangat penting untuk menjaga ilmu. Ia lebih meresap dalam hafalan. Memudahkan kita untuk membaca ulang terutama apabila dalam masa genting dan sebagainya. Mudah di bawa ke sana ke mari di mana jua. Imam Sya'bi menuturkan nasihat :-

“Apabila engkau mendengar sesuatu, maka tulislah sekalipun di tembok”.

2- MENAMBAH KHAZANAH ILMU

Ilmu itu sentiasa memuncup keluar dan timbul dimana-mana. Berkembang dan terus berkembang. Maka, teruskan mengisinya di dalam peti khazanah ilmu anda.

3- BARANG SIMPANAN DI HARI TUA

Di renta usia kita kelak, pasti ia akan menjadi peneman yang setia di saat kita keseorangan. Mungkin juga kita akan tersenyum sendirian mengenangkan pengalaman dahulu.

Syeikh Bakr bin Abdillah Abu Zaid berkata:

“Di antara faedah menghimpun fawaid yang paling berharga adalah ketika di saat lanjut usia dan badan telah lemah, dia akan memliki bahan materi yang dapat dia nukil tanpa susah payah harus mencari-cari lagi”.

Syeikh Abdul Muhsin Abbad mengungkapkan ucapan yang menarik tentang dirinya:

“Kenanganku yang paling menarik adalah buku-buku kurikulum dan buku tulisku ketika di sekolah dulu semenjak ibtidai’yah, mutawassitah, tsanawiyah dan jami’ah, semuanya masih ada dalam almariku sampai sekarang”.

KENAPA MENULIS BLOG

Zaman maju ini, rugi kalau dipersiakan teknologi.

Saya menulis untuk kepuasan diri. Saya menulis untuk mengingatkan diri sendiri. Bagi kawan-kawan dan pengunjung blog ini, kalau sudi, ambillah saja apa yang boleh dipelajari.

Saya menulis supaya catatan dan pengalaman itu tidak dilupakan. Kelak di renta usia, anak-anak 'papa' mampu untuk membaca pengalaman dan kehidupan 'papa'nya untuk dijadikan teladan pada perkara yang baik dan sempadan pada perkara yang sebaliknya.

Anak-anak mestilah lebih baik dari 'papa'nya...Heh!!

MUSIBAH

Apa kaitan buku nota dengan tulisan kali ini?

Minggu lepas, selepas mengikuti kelas pengajian bersama Syeikh Prof. Duktur Ali Jumuah sekitar jam 10.00 pagi, saya terlelap seketika sementara menunggu waktu Zuhur.

Ya. Hanya seketika. Sekitar 30-50 minit. Qoilullah.

Mungkin kerana terlalu letih dan mengantuk, saya tidur selenanya.

Apabila bangun dari tidur untuk solat, beg galas saya sudah hilang dicuri. Hilang segala kitab-kitab, buku nota, kad pelajar malah novel juga.

Allahu Akbar!!!

Namun, si pencuri masih sempat memberi atau meninggalkan saya epal 8 biji disisi saya. Sebagai timbal balas barangkali... Sungguh berperikemanusiaan!!!

Walaubagaimanapun, ini musibah kecil berbanding yang lain. Alhamdulillah.

BLUES CLUES

Pada yang biasa bersama Nick di TV9, pasti tidak akan lupa pada Blues Clues dan buku notanya.

Jadi, untuk mendapatkan petunjuk blues clue, apa yang kita perlukan adalah...

BUKU NOTA!!!

post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Toob El Ramly | 230911 | 3.40 pm |

PULANG SEORANG SAHABAT

. 22 September 2011
1 comments

Jarang sekali saya menumpahkan air mata pilu tanpa diminta dan terhambur secara spontan tanpa-tanpa disangka.

Ya. Hari ini tumpah.

Tumpah dari leluhur hati yang ikhlas melihat kejayaan sahabat.

Tahniah sahabat!!!

Sesungguhnya kamu adalah teman yang mulia. Tidak pernah mengeluh dan bersunggut pada hakikat sebuah kepayahan. Tidak pernah menyata tersentuh hati pada cuai dan culasnya hakikat diri saya ini. Sentiasa menghormati diri ini walaupun diri punya berjuta kekurangan dan kerenah.

Tadi, berkesempatan menghantar sahabat saya Ustaz Syed Maarof Syed Aqil pulang ke Malaysia setelah berjaya menamatkan pelajaran beliau dengan jayanya. Tahniah!!!

Namun dalam kegembiraan itu ada kepiluan.

Pertemuan yang telah terukir dengan beliau sangat banyak membantu saya ketika saya kekurangan dan kelemahan. Membantu tidak kira waktu dan upaya. Beliaulah ahli bait saya di asrama. Beliaulah juga ahli bait saya di Syuwesrry.

Sesungguhnya beliau memang banyak membantu saya.

Membantu mendapatkan nota-nota kuliah untuk saya.

Membantu mendapatkan jadual-jadual untuk saya.

Membantu urusan kuliah, visa dan imigrisen saya.

Membantu menyediakan makanan untuk saya.

Yang mengambil hal demam sakit saya.

Yang sanggup memboncengkan saya mencari barang tatkala lagi 6 jam lagi sebelum penerbangan saya.

Yang bersusah payah pindah memindah rumah.

Yang setia berprogram tanpa kerenah.

Cuma hanya saya sahaja yang tidak mampu untuk menjadi rakan terbaik buat beliau. Banyak menyusahkan pula. Maafkan saya teman. Namun itulah hakikat diriku yang lemah.

Ketahuilah, bahawa diri ini selalu mendoakan yang terbaik buatmu.

Selamat berjuang di medan baru!!!



post signature


| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Toob El Ramly | 220911 | 12.42 am |

UBAH TAKDIR

. 10 September 2011
0 comments

Ramai orang yang malas menjadikan faktor takdir sebagai dalih dan alasan atas kemalasannya. Walhal, takdir itu ada yang boleh diubah dan ada yang bersifat kekal. Memang, tidak semua takdir boleh diubah.

Misalnya, jika kita ditakdirkan sebagai seorang lelaki, ia tidak boleh diubah untuk menjadi seorang perempuan. Kita memang tidak boleh mengubah takdir yang sudah terjadi dan berlaku. Mana mungkin waktu boleh berpintal ke belakang. Yang dimaksudkan mengubah takdir disini adalah mengubah takdir di masa mendatang.

Lalu bagaimana cara kita untuk mengubah takdir?

Cara yang benar dan tepat, tentu saja harus bersumberkan dari Penentu takdir iaitu Allah SWT melalui Al Quran dan Hadith Nabi SAW.

Bagi Anda yang belum tahu, bahawa takdir itu boleh diubah.

Inilah nilai pengharapan yang diberi setelah kita melalui kesusahan, kesedihan dan kegetiran di sepanjang perjalanan kehidupan.

Hadis daripada Imam Tirmizi dan Hakim yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, bahawa Nabi SAW Bersabda :

“Barangsiapa hatinya terbuka untuk berdoa, maka pintu-pintu rahmat akan dibukakan untuknya. Tidak ada permohonan yang lebih disenangi oleh Allah daripada permohonan orang yang meminta keselamatan. Sesungguhnya doa bermanfaat bagi sesuatu yang sedang terjadi dan yang belum terjadi. Dan tidak ada yang boleh menolak taqdir kecuali doa, maka berpeganglah wahai hamba Allah pada doa”.

(HR Tirmizi dan Hakim)

CARA MENGUBAH TAKDIR

PERTAMA : DOA

Allah SWT yang menetapkan takdir untuk kita, maka Allah jualah yang memiliki kuasa untuk mengubahnya dalam erti kata memberi atau mengubah takdir yang baru buat kita. Mengubah takdir ertinya Allah menggantinya dengan takdir baru. Tetapi, Allah jua yang menetapkan takdir.

Cara pertama dengan berdoa ini berdasarkan kepada hadis yang telah dijelaskan di atas.

KEDUA : INFAQ & BERSEDEKAH

Cara Kedua adalah berinfaq dan bersedekah.

Rasulullah SAW pernah bersabda :

“Silaturrahmi dapat memperpanjang umur dan sedekah dapat merubah taqdir yang mubram” (HR. Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Imam Ahmad)

KETIGA : BERTASBIH

Cara Ketiga adalah bertasbih. Ada hadis yang diriwayatkan dari Saad Ibnu Abi Waqosh, Rasulullah bersabda :

“Mahukah kalian Aku beritahu sesuatu doa, yang jika kalian memanfaatkan itu ketika ditimpa kesedihan atau bencana, maka Allah akan menghilangkan kesedihan itu? Para sahabat menjawab : “Ya, wahai Rasululullah, Rasul bersabda “Iaitu doa “Dzun-Nun : “LA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINADH-DHOLIMIN” (Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk diantara orang-orang yang zalim”.
(H.R. Imam Ahmad, At-Turmudzi dan Al-Hakim).

KEEMPAT : BERSELAWAT

Cara keempat ialah dengan berselawat kepada Baginda Junjungan Nabi SAW. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ubay Ibnu Kaab, Bahawa ada seorang lelaki telah mendedikasikan semua pahala selawatnya untuk Rasulullah SAW, maka Rasul berkata kepada orang tersebut : “Jika begitu lenyaplah kesedihanmu, dan dosamu akan diampuni”.
(H.R Imam Ahmad At-Tabroni)

Justeru itu, jangan berhenti berdoa, berdoa, berdoa dan berusaha. Seburuk mana pun kedudukan pada masa ini, semuanya masih boleh berubah dan masih punya harapan. Bagaimana pun pahitnya pengalaman kita pada masa lalu, ia masih boleh berubah.

Optimislah selalu!!! Anda boleh mengubah takdir anda untuk menjadi yang lebih baik.

Hasbiyallah Wa Ni'mal Wakil...

post signature

PENYULUH KEHIDUPAN MUKMIN

.
0 comments


1- Jangan sesekali anda menjadi musuh syaitan secara zahir tetapi anda menjadi sahabat syaitan secara rahsia.

2- Menjadi satu kesilapan besar, apabila anda sentiasa merancang kehidupan orang sekeliling anda sedangkan anda membiarkan hati anda dalam keadaan kosong.

3- Mereka yang banyak bercakap biasanya sedikit menunaikan apa yang dikata.

4- Mereka yang gagal ada dua jenis.

Pertama : Sentiasa berfikir tetapi tidak beramal.
Kedua : Sentiasa beramal tanpa berfikir.

5- Mereka yang baik akhlaknya adalah mereka yang baik akhlaknya semasa di rumah.

6- Mereka yang memiliki hikmah adalah mereka yang menyeru manusia dengan apa yang telah dikerjakan.

7- Kebaikan akan bertambah murni apabila ia dilakukan tanpa diminta. Apabila memberi tanpa mengharap balasan dan apabila telah sempurna atau telah mendapat apa yang dihajatkan dia tetap tidak akan berubah (tetap istiqamah tanpa sombong).

post signature

Related Posts with Thumbnails
    follow me on Twitter