Pernah atau tidak anda melihat orang yang sedang marah atau orang yang sedang bergaduh?
| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Suqq Sayyarat | 241211 | 12.37 pm |
ISLAM AS A LIFESTYLE
Pernah atau tidak anda melihat orang yang sedang marah atau orang yang sedang bergaduh?
| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Suqq Sayyarat | 241211 | 12.37 pm |
| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Suqq Sayyarat | 181211 | 7.42 pm |
Ini bermula dengan skop pandang faham bagaimana mereka menerima nilai yakin dan percaya terhadap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan mereka.
Orang Mukmin melihat segala sesuatu yang berlaku adalah dengan ketentuan, kehendak serta ketetapan Allah yang Azali.
Orang kafir pula melihat sesuatu yang berlaku mengikut tabi'e semulajadi kehidupan serta hasil usaha tangan mereka. Jika berjaya, gembira. Jika gagal, berduka. Jika senang, lapang. Jika susah, sempit. Jika sihat, bersenang. Jika sakit, merintih. Begitulah sifirnya.
Disinilah berbezanya urusan manusia.
Beza antara manusia yang bertuhan dan juga manusia yang tidak bertuhan.
SEMUA URUSAN ADALAH BAIK
Nabi Muhammad SAW telah memberitahu kepada kita tentang keajaiban ini. Nilai keimanan dalam jiwa orang Mukmin telah memberikan indikator atau kekuatan dan keistimewaan yang luar biasa kepada orang Mukmin.
Perhatikan hadis ini,
Sifat orang mukmin dalam mengharungi sebuah kehidupan diasaskan dengan dua tonggak dan kunci utama.
1- Syukur atas nikmat/kesenangan.
2- Sabar atas ujian/kesusahan.
SYUKUR
Syukur secara definasi mudah adalah melahirkan rasa berterima kasih dan penghargaan apabila menerima sesuatu yang menyenangkan hati kita. Ini bahasa mudah.
Namun, terima kasih dan penghargaan kepada makhluk (manusia) adalah berbeza dengan syukur (terima kasih) kepada Tuhan.
Menurut perbahasan Al-Imam Al-Raghib, kalimah Syukur (شكر) itu adalah keterbalikan daripada kalimah (كشر) yang memberi maksud (الكشف) iaitu terbuka.
Apa yang terbuka disini?
Orang yang bersyukur adalah orang yang hatinya terbuka menerima apa jua pemberian dan kurniaan. Kecil atau besar. Sedikit atau banyak. Terima saja seadanya dengan hati terbuka.
Lawan SYUKUR adalah KUFUR.
Kalimah (كفر) bermaksud tertutup atau terhijab.
Orang yang bersyukur sentiasa nampak dan melihat. Sentiasa dapat melihat apa yang dia ada dan dia miliki.
Orang yang kufur sentiasa tidak nampak. Sentiasa tidak dapat melihat apa yang dia ada.
Orang yang bersyukur akan menghitung nikmat yang ada hingga tidak cukup lafaz Alhamdulillah dan ketaatannya pada membalas nikmat yang ada.
Orang yang kufur akan mengeluh dan kecewa dengan segala yang tiada di tangannya hingga datang pelbagai penyakit jiwa dan agama.
Inilah ajaibnya urusan orang Mukmin.
Apa yang diterima dan disyukuri, itulah kebaikan buatnya.
SABAR
Sabar pula biasanya adalah perasaan tahan diri dan cekal jiwa apabila kita menerima apa yang bertentangan dengan kehendak dan keinginan hati kita.
Sabar itu ada 4 bahagian :-
1- Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah.
"Dan sesungguhnya Kami hendak menguji kepadamu semua, sehingga Kami dapat mengetahui siapa di antara engkau semua itu yang benar-benar berjihad dan siapa pula orang-orang yang bersabar." (Muhammad: 31)
"Orang yang bersabar dan suka memaafkan, sesungguhnya hal yang demikian itu nescaya termasuk pekerjaan yang dilakukan dengan hati yang teguh." (as-Syura: 43)
"Mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 153)
2- Sabar dalam meninggalkan maksiat kepada Allah.
"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada hitungannya - kerana amat banyaknya." (az-Zumar: 10)
3- Sabar atas Bala' dan cubaan
"Nescaya Kami akan memberikan cubaan sedikit kepadamu semua seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, kemudian sampaikaniah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 155)
4- Sabar atas Ilmu dan maklumat.
Iktibar kisah perjalanan ilmu dan maklumat Nabi Musa AS bersama Nabi Khaidir AS ini menuntun sifat cekal dan istiqamah yang sebenarnya dalam mencapai hakikat dan makna sabar.
DI MANA KEBAIKAN SABAR
Beza antara orang Mukmin dan orang kafir dalam menghadapi bala' adalah bagaimana hati dan jiwa menerima ujian tersebut.
Orang Mukmin yang redha akan menerima pahala berganda. Satu, pahala menerima ujian. Dua, pahala bersabar. Tiga, pahala berdoa mengharapkan pelepasan ujian. Empat, pahala memohon ampun taubat atas kesalahan.
Semakin dekat pada Tuhan.
Semakin baik akhlak.
Orang kafir yang merintih pula membinasakan dan memusnahkan diri mereka. Minum arak, mabuk, dadah, ubat tidur, depression dan sebagainya.
Orang Mukmin, sabarnya adalah penghapus dosa.
Orang kafir, rintihnya menambah dosa.
Ketahuilah,
Sabar yang sebenarnya adalah yang tiada pengaduan padanya, tiada rintihan padanya melainkan kepada Allah.
Itulah sebenar-benar sabar.
Ajaib sungguh urusan mukmin!!!.
Apa jua bencana dan kesusahan yang diiringi dengan sabar, itulah juga kebaikan untuknya.
Jangan menangis ya bila diuji... =)
KEBAHAGIAAN HIDUP
Syukur dan Sabar,
Kunci utama kebahagiaan hidup...
| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Suuq Sayyarat |151211 | 6.11 pm |
Mesir sentiasa saja setia dengan hiruk-pikuknya setiap hari. Jarang sekali terasa tenang dan damai. Suasana sesak sentiasa. Malah kadang-kadang membawa sesak juga di jiwa.
Hari ini kuliah selesai jam 2.30 petang.
Kemudian terus ke Masjid Al-Azhar untuk Solat Asar.
Selepas solat, saya menerawang menengung-nengung sambil berehat di beranda masjid sementara menunggu untuk kelas yang seterusnya selepas Maghrib nanti.
Angin sejuk sangat menderu menyapu pipiku yang gebu ini. haha
Sungguh asyik sekali.
Hampir membawa kepada tidur dan terlena.
Selepas azan Maghrib, tatkala ingin masuk ke dalam rihab tempat solat, tiba-tiba ada seorang adik comel menghulurkan saya sekeping kertas.
" Apa ni ?" Tanya saya sopan. (Sopanlaa sangat...hehe)
" Hadis " Jawabnya santai.
" Kenapa bagi kat saya??? "
" Saya tengok abang dari Asar tadi asyik termenung sampai ke Maghrib "
Erkkk.
Terpaku.
Tak terkata apa saya.
Syukran adik comel... =)
Hidup ini sentiasa diwarnai dengan cabaran dan ujian. Kadang-kadang ia menjadi bebanan yang maha berat. Seberat mana pun ia, ini adalah proses mematangkan nilai kehidupan kita.
Inilah Universiti Kehidupan.
Seorang pensyarah mengangkat segelas air dan bertanya kepada pelajarnya.
“Anda semua teka berapa berat segelas air ini?”
Mahasiswa menjawab, mereka meneka dari 5 liter sampai 200 liter.
"Sebenarnya, jawapan anda ada yang betul tapi apa yang hendak saya sampaikan hari ni ialah bukan masalah berat kandungannya, tapi bergantung berapa lama anda memegangnya.
Jika saya memegangnya selama 1 minit, tidak ada masalah.
Jika saya memegangnya selama 1 jam, lengan kanan saya akan sakit.
Dan jika saya memegangnya selama 1 hari penuh, mungkin anda harus memanggilkan ambulans untuk saya.
Beratnya sebenarnya sama, tapi semakin lama saya memegangnya, maka bebannya akan semakin berat”.
“Jika kita membawa beban kita secara berterusan, lambat laun kita tidak akan mampu membawanya lagi. Beban itu akan meningkat beratnya”.
“Apa yang harus kita lakukan adalah meletakkan gelas tersebut, rehat sekejap sebelum mengangkatnya lagi”.
Kita harus meninggalkan beban kita secara berkala, agar kita dapat lebih segar dan mampu membawanya lagi. Jadi sebelum pulang ke rumah dari pekerjaan petang ini, tinggalkan beban pekerjaan. Jangan bawa pulang. Beban itu dapat diambil lagi besok.
Apapun beban yang ada di bahu anda hari ini, cuba tinggalkannya sekejap jika boleh. Setelah berehat nanti boleh diambil lagi.
Hidup ini singkat cuma.
Justeru, cubalah menikmatinya!!!
Perkara terindah dan terbaik di dunia ini tidak dapat dilihat, atau disentuh. Tetapi hanya dapat dirasakan jauh di dalam hati anda.
Ini kisah perjanjian lama.
Perjanjian agung yang telah kita tandangani bersama dengan pilihan kita sendiri tanpa paksa rela. Tanpa tekanan dan tanpa dorongan.
Mungkin kita telah terlupa. Tapi jangan pernah kita lupa!!!
AKAD KONTRAK
Sama ada kita sedar atau tidak, kita telah pun membuat satu perjanjian kontrak kehidupan dengan pemilik kehidupan dan pencipta kehidupan ini iaitu Allah SWT Taala.
Kontrak itu telah tersimpan rapi di dalam akad kontrak yang telah terbina. Terbuku kemas dalam setiap jiwa-jiwa insan.
Perjanjian ini telah kita lalui dan tandatangani bermula di dalam satu majlis sewaktu di alam arwah dahulu. Laluan pertama kita di dalam perjalanan kehidupan ini.
Telah lupa?
Janganlah lupa. Kerana anda tidak punya alasan untuk lupa.
Inilah penyaksian terhadap kontrak yang telah kita tandatangani bersama masa lampau.Jawapan ini adalah hasil daripada kesedaran, pengiktirafan dan kerelaan manusia untuk mengikat janji dengan Allah SWT Taala serta kesanggupan manusia untuk mematuhi segala perintah dan arahan yang Allah SWT Taala tetapkan kepada manusia.
Kita telah bersama menyatakan dengan YAKIN bahawa Allah itu tuhan kita. Tuhan sekalian alam yang mentadbir urus kehidupan kita di alam dunia.
Kita telah bersaksi untuk bersetia dan bersedia. Bersedia menerima apa-apa yang telah diperjanjikan. Janji untuk taat dan patuh dengan arahan dan terma-terma syarat yang telah disuruh.
Janji untuk tunduk dan patuh dari terma-terma terlarang yang telah ditulis.
Namun, adakah terma-terma ini telah kita ikuti dengan penuh disiplin atau kita telah khianat dengan perjanjian ini.
LANGGAR KONTRAK
Kita perlu sedar dan mengetahui bahawa penyaksian akad kontrak ini telah diperhatikan oleh peguam-peguam Allah Taala yang setia menjadi saksi dalam kontrak ini.
Para Malaikat Allah akan menjadi agen pemantau dan pengawal selia terhadap keberkesanan kepatuhan terhadap kontrak yang telah ditandangani ini. Semua ini tercatat dengan kemas dan rapi tanpa tercicir walau sepatah huruf dan walau setitik tinta sekali pun.
Justeru itu, manusia perlu mematuhi semua kontrak ini secara keseluruhannya dalam proses untuk menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa. Mematuhi kontrak ini dalam keadaan senang atau susah. Berat atau ringan. Sakit atau sihat.
Apabila manusia itu beriman dan bertaqwa kepada Allah, nescaya akan dibukakan segala kehidupan yang baik baginya. Penuh dengan rahmat dan berkat.
Berbeza pula pada mereka yang melanggar kontrak ini. Kesan perlanggaran kontrak ini amat berisiko dan berbahaya. Mereka ini telah menzalimi diri mereka sendiri yang akhirnya memberi kesan buruk dan cela pada diri sendiri.
Ini adalah pilihan. Kontrak telah ditandatangi. Cuma pilihan kita samada untuk memilih patuh atau engkar.
Pada anda, silalah membuat pilihan yang tepat.Maka, adalah sangat penting bagi diri kita untuk meletakkan diri kita sebagai seorang yang adil pada diri kita sendiri dan tidak berlaku zalim pada diri sendiri supaya kesejahteraan dalam kehidupan ini akan memberi impak positif pada diri sendiri dan masyarakat keseluruhannya.
KITA DUSTA
Sebaik kita membesar dan terus membesar di dunia ini, perjanjian ini telah terkubur dengan nikmat dan ego dunia.
Kata-kata kita yang sering berbohong. Seolah-olah kita tidak pernah berjanji.
Kata-kata kita yang sering menghina dan mencela. Seolah-olah kita tidak pernah berjanji.
Perbuatan kita yang kejam dan zalim. Seolah-olah kita tidak pernah berjanji.
Suruhan dan kewajipan yang telah kita abaikan. Seolah-olah kita tidak pernah berjanji.
Larangan, tegahan dan maksiat yang telah kita lakukan. Seolah-olah kita tidak pernah berjanji.
Sesungguhnya kita telah berdusta!!!
Berdusta atas penyaksian kalam diri sendiri.
TAMAT KONTRAK
Ingatlah!!!
Kontrak ini amat singkat.
Kontrak ini adalah antara kontrak hidup dan mati.
Adakah esok masih kita mampu untuk menunaikan kontrak ini? Atau adakah akan terus tamat dan terbatal?
Tempoh ini adalah tempoh untuk menyempurnakan terma-terma yang telah diperjanjikan. Menyempurnakan terma Rukun Islam yang lima. Melunaskankan terma Rukun Iman yang enam. Memperindahkan terma Ihsan yang sekian banyaknya.
Cukuplah mati itu sebagai peringatan dan motivasi.
Mati sebagai pendorong untuk kita melakukan lebih banyak kebaikan dan ketaatan. Mati sebagai motivasi penghalang daripada dosa dan kemungkaran.
Perhiaskanlah kontrak ini dengan nilai-nilai kemurniaan dan kesejahteraan. Jangan calarkan kontrak ini dengan contengan jalanan dunia yang penuh noda.
Bagi yang telah melupakan kontrak ini,
Bagi yang telah meninggalkan kontrak ini kusam,
Bagi yang telah dusta perjanjian ini,
Bagi yang telah tergelincir dari perjanjian ini,
Buatlah sesuatu sebelum kontrak hidup ini TAMAT!!!
Kehidupan ini dihamparkan dengan seni dan corak pada dua perkara yang menghiasi jiwa.
Satu pada kebahagiaan dan kegembiraan.
Satu, pada kesedihan dan kedukaan.
Kehidupan ini tidak selalunya pada kegembiraan. Tidak sepanjang masa dalam kedudukan selesa jiwa dan perasaan. Ada masa dan ketikanya kita akan berhadapan dengan situasi yang tidak kita gemari. Situasi yang tidak selesa pada jiwa yang akan menyebabkan tekanan pada diri dan seterusnya menghasilkan DEPRESSION.
APA ITU DEPRESSION
Depression adalah sindrom kemurungan yang memberi gangguan kepada perasaan dan jiwa seseorang individu.
Gangguan perasaan ini boleh menjadi teruk dan tegar dengan suasana sekeliling yang 'membunuh' psikologi. Kebiasaannya, ia tidak dapat diatasi hanya dengan dihiburkan dengan keluarga.
Kemurungan juga tidak dapat dihapuskan hanya dengan semangat. Ia memerlukan rawatan yang rapi dan intensif bagi menghapuskan simptom-simptomnya. Kemurungan boleh berlangsung pada tahap yang lama sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
JENIS-JENIS KEMURUNGAN
1- REAKTIF
* Paling biasa terjadi.
* Disebabkan oleh trauma dan pulih dengan segera.
2- ENDOGENOUS
* Tidak dapat membiasakan diri dengan kehidupan seharian.
* Faktor tidak jelas dan mungkin disebabkan oleh genetik.
3- BIPOLAR DISORDER ( Penyakit bipolar )
* Penyakit kemurungan dan mania.
SIMPTOM-SIMPTOM
1. Kesedihan atau ‘kekosongan’ perasaan yang berpanjangan.
2. Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan.
3. Cepat rasa letih dan tidak bertenaga.
4. Perasaan pesimistik dan mudah berputus asa.
5. Perasaan bersalah dan tidak berguna.
6. Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur.
7. Hilang selera makan dan penurunan berat badan.
8. Rasa lebih baik mati, kadangkala disertai dengan percubaan bunuh diri.
9. Rasa tidak tenteram dan mudah marah.
10. Kurang daya tumpuan dan sukar untuk membuat keputusan.
11. Simptom-simptom fizikal seperti sakit kepala, sakit-sakit badan dan gangguan penghadaman.
MENGAPA MENGALAMI DESPRESSION
1. Kemurungan boleh berlaku dalam keluarga, persahabatan dan lain-lain.
2. Peristiwa atau kejadian yang menyebabkan seseorang tertekan.
Contohnya: Kematian ahli keluarga, gagal dalam peperiksaan, perceraian ibu bapa.
3. Penyakit kronik. Contohnya: Sawan, asma dan kanser.
4. Risiko kemurungan boleh meningkat dengan penyakit neurologi seperti strok, Penyakit Parkinson (Parkinson’s disease) atau multipel sklerosis dan juga tahun pertama selepas melahirkan anak.
5. Kecewa dengan fizikal atau penampilan yang tidak sempurna.
6. Ciri-ciri peribadi. Seperti tiada keyakinan diri, malu dengan kekurangan.
7. Penyalahgunaan dadah. Contohnya steroids, ubat cegah kanser dan sebagainya.
8. Masalah-masalah dan bebanan kehidupan.
MENCEGAH DEPRESSION
1. Belajar menjadi tenang dan bersabar.
2. Jangan terlalu ‘high expectation’ sehingga sukar dicapai.
3. Rancang tugas agar teratur.
4. Jangan terlalu mengharapkan sesuatu.
5. Elakkan bersendirian. Habiskan masa dengan orang yang tersayang.
6. Libatkan diri dengan aktiviti yang membolehkan anda berfirkir secara positif.
7. Setiap keputusan yang berat harus dibincang dengan pihak kedua dan melihatnya secara objektif. Ataupun mengambil keputusan setelah masalah kemurungan itu selesai.
8. Tingkatkan keyakinan diri dengan menyertai kursus motivasi.
9. Berusaha dengan membantu diri anda sendiri dengan sebaik mungkin.
10. Jangan menyalahkan diri sendiri jika menemui kegagalan
11. Jika anda mengenalpasti diri berada dalam kemurungan, jangan malu untuk mendapatkan bantuan daripada mereka yang pakar. Anda boleh berjumpa dengan kaunselor atau ahli psikologi bagi membantu anda.
12. Memperbaiki ibadat dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
13. Mencari waktu yang tenang untuk membina kekuatan. Contoh pada 1/3 malam.
14. Berdoa.
15. Berinteraksi dengan alam.
16. Berdampingan dengan orang soleh.
17. Bersama dengan kawan-kawan yang membantu dan membina.
Untuk merawat penyakit, haruslah kenali penyakit.
Moga depression yang telah sekian lama menempel dan berkubu pada jiwa, hati dan perasaan akan berakhir. Berakhirlah sekarang untuk kehidupan yang lebih indah.Moga kehidupan sakinah itu milik kita!!!
P/S : Baca juga perihal Hamm & Hazan DISINI.
Jarang sekali saya menumpahkan air mata pilu tanpa diminta dan terhambur secara spontan tanpa-tanpa disangka.
Ya. Hari ini tumpah.
Tumpah dari leluhur hati yang ikhlas melihat kejayaan sahabat.
Tahniah sahabat!!!
Sesungguhnya kamu adalah teman yang mulia. Tidak pernah mengeluh dan bersunggut pada hakikat sebuah kepayahan. Tidak pernah menyata tersentuh hati pada cuai dan culasnya hakikat diri saya ini. Sentiasa menghormati diri ini walaupun diri punya berjuta kekurangan dan kerenah.
Tadi, berkesempatan menghantar sahabat saya Ustaz Syed Maarof Syed Aqil pulang ke Malaysia setelah berjaya menamatkan pelajaran beliau dengan jayanya. Tahniah!!!
Namun dalam kegembiraan itu ada kepiluan.
Pertemuan yang telah terukir dengan beliau sangat banyak membantu saya ketika saya kekurangan dan kelemahan. Membantu tidak kira waktu dan upaya. Beliaulah ahli bait saya di asrama. Beliaulah juga ahli bait saya di Syuwesrry.
Sesungguhnya beliau memang banyak membantu saya.
Membantu mendapatkan nota-nota kuliah untuk saya.
Membantu mendapatkan jadual-jadual untuk saya.
Membantu urusan kuliah, visa dan imigrisen saya.
Membantu menyediakan makanan untuk saya.
Yang mengambil hal demam sakit saya.
Yang sanggup memboncengkan saya mencari barang tatkala lagi 6 jam lagi sebelum penerbangan saya.
Yang bersusah payah pindah memindah rumah.
Yang setia berprogram tanpa kerenah.
Cuma hanya saya sahaja yang tidak mampu untuk menjadi rakan terbaik buat beliau. Banyak menyusahkan pula. Maafkan saya teman. Namun itulah hakikat diriku yang lemah.
Ketahuilah, bahawa diri ini selalu mendoakan yang terbaik buatmu.
Selamat berjuang di medan baru!!!
Ramai orang yang malas menjadikan faktor takdir sebagai dalih dan alasan atas kemalasannya. Walhal, takdir itu ada yang boleh diubah dan ada yang bersifat kekal. Memang, tidak semua takdir boleh diubah.
Misalnya, jika kita ditakdirkan sebagai seorang lelaki, ia tidak boleh diubah untuk menjadi seorang perempuan. Kita memang tidak boleh mengubah takdir yang sudah terjadi dan berlaku. Mana mungkin waktu boleh berpintal ke belakang. Yang dimaksudkan mengubah takdir disini adalah mengubah takdir di masa mendatang.
Lalu bagaimana cara kita untuk mengubah takdir?
Cara yang benar dan tepat, tentu saja harus bersumberkan dari Penentu takdir iaitu Allah SWT melalui Al Quran dan Hadith Nabi SAW.
Bagi Anda yang belum tahu, bahawa takdir itu boleh diubah.
Inilah nilai pengharapan yang diberi setelah kita melalui kesusahan, kesedihan dan kegetiran di sepanjang perjalanan kehidupan.
Hadis daripada Imam Tirmizi dan Hakim yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, bahawa Nabi SAW Bersabda :
“Barangsiapa hatinya terbuka untuk berdoa, maka pintu-pintu rahmat akan dibukakan untuknya. Tidak ada permohonan yang lebih disenangi oleh Allah daripada permohonan orang yang meminta keselamatan. Sesungguhnya doa bermanfaat bagi sesuatu yang sedang terjadi dan yang belum terjadi. Dan tidak ada yang boleh menolak taqdir kecuali doa, maka berpeganglah wahai hamba Allah pada doa”.
1- Jangan sesekali anda menjadi musuh syaitan secara zahir tetapi anda menjadi sahabat syaitan secara rahsia.
2- Menjadi satu kesilapan besar, apabila anda sentiasa merancang kehidupan orang sekeliling anda sedangkan anda membiarkan hati anda dalam keadaan kosong.
3- Mereka yang banyak bercakap biasanya sedikit menunaikan apa yang dikata.
4- Mereka yang gagal ada dua jenis.
Pertama : Sentiasa berfikir tetapi tidak beramal.
Kedua : Sentiasa beramal tanpa berfikir.
5- Mereka yang baik akhlaknya adalah mereka yang baik akhlaknya semasa di rumah.
6- Mereka yang memiliki hikmah adalah mereka yang menyeru manusia dengan apa yang telah dikerjakan.
7- Kebaikan akan bertambah murni apabila ia dilakukan tanpa diminta. Apabila memberi tanpa mengharap balasan dan apabila telah sempurna atau telah mendapat apa yang dihajatkan dia tetap tidak akan berubah (tetap istiqamah tanpa sombong).
Saya suka pada duration minit ke 15 video ini. Sangat sentap!!!
Lebih sedap dari Awie saya rasa...haha
Jangan marah... =)
Apabila bercerita tentang insan yang kembali kepada Tuhan, ia mengambarkan perihal hidayah.
Hidayah itu ada dua.
1- Hidayah Tauhid
2- Hidayah Taufiq.
Video diatas menunjukkan perihal Hidayah Taufiq.
Hidayah Tauhid adalah penerimaan hati dan jiwa terhadap keimanan serta keesaan Allah dan Rasulnya serta kesediaan menyerah diri untuk turut dan patuh kepada perintahNya.
Hidayah Taufiq pula adalah pedoman dan petunjuk di sepanjang perjalanan kehidupan. Petunjuk untuk melakukan sesuatu kebaikan. Juga petunjuk untuk menghindari kejahatan dan kebobrokan.
Hidayah Taufiq ini hendaklah selalu diminta dan dipohon walaupun kita sudah menyatakan keimanan dan kepercayaan kepada Tuhan kerana ia tidak akan selalu hadir jika kita tidak memintanya.
Jika tidak, manakan kita selalu membaca 'إهدنا الصراط المستقيم' dalam setiap rakaat solat sedangkan kita sudah beriman?
HIDAYAH UNTUK SIAPA
1- Untuk orang-orang yang bertaqwa.
Pada Bulan Ramadhan ini, kita dijanjikan dengan ganjaran berlipat kali ganda dan pahala yang mencurah-curah.
Amalan sunat menyamai dengan amalan wajib. Amalan wajib pula digandakan kepada 70 kali ganda. Subhanallah!!!
Islam mengajar penganutnya supaya melakukan sebanyak mungkin amalan kebaikan semampunya sepanjang hidup di dunia ini. Tidak hanya memadai dengan amalan wajib sahaja.
Apa yang pasti, Allah Taala akan membalas setiap kebaikan dan kebajikan yang dilakukan itu walaupun hanya sebesar zarah.
Setiap satu kebaikan akan dibalas 10 dan sehingga 700 pahala manakala satu kejahatan pula hanya dibalas dengan satu kejahatan. Maha Suci Allah dengan rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambanya.
Persoalannya berapakah nilai 10 atau 70 yang dimaksudkan itu???
Adakah RM 10?
Adakah USD 10?
Adakah EURO 10?
Atau 10 Genih sahaja???
Tiada siapa yang mampu menjawabnya!
Kerana nilai ini adalah rahsia Allah untuk hambaNya yang bertaqwa. Mungkin 10 ini bermaksud USD 10 Juta atau USD 10 Billion atau mungkin USD 10 Trillion atau mungkin tak ternilai dengan seluruh isi alam ini. Hanya Allah yang tahu.
Namun, apa yang penting disini adalah melakukan amal kebaikan dan kebajikan selagi hayat dikandung badan. Buatlah amal kebajikan sebanyak mungkin. Lakukan amalan kebaikan semampu mungkin.
Apabila nyawa telah bercerai dari badan, apa yang didambakan hanyalah pahala. Pahala yang pernah kita semai dahulu di dunia. Jika tidak disemai, manakan dapat kita menuai hasil...
Justeru itu, tekadkan semangat dalam hati. Patrikan keazaman mulai hari ini untuk merebut semua peluang kebaikan yang ada nampak di mana-mana.
Rebutlah secepat mungkin. Tidak kira samada kebaikan itu hanya berupa membuang sampah, menolong orang tua melintas jalan ataupun dengan memberikan secebis senyuman manis anda.
Ayuh!!!
Sebenarnya, masa sudah singkat.
Fastibiqul Khairat...
Ramadhan Kareem... =)
P/S : 16 minit sebelum berbuka
Esok puasa. Alhamdulillah. Masih diberi kesempatan untuk beramal.
Azam apa pula untuk Ramadhan tahun ini ya?
Saya yakin, azam yang telah dicipta tahun lepas masih terdapat seribu penyesalan. Sesal kerana tidak mengambil manfaat sepenuhnya.
Sebelum tiba, terasa rindu. Selepas tiba dilepaskan begitu sahaja pula. Begitulah manusia. Penuh dengan turun naik dan jatuh bangun. Bertambah dan berkurang mengikut kekuatan iman masing-masing.
Tahun ini, sematkan azam untuk menjadi yang lebih baik.
Catatlah azam anda setinggi langit. Pahatlah cita-cita anda seteguh gunung.
Puasa dengan sepenuh makna. Naikkan taraf puasa daripada puasa awam kepada puasa khusus dan khususul khusus. Memang susah. Tapi bukan payah.
Tadarus Al-Quran lengkap 30 Juzu' walaupun membaca 'kreko' itu lebih enak .
Mathurat setiap pagi dan petang walaupun bermain facebook lebih asyik.
Terawih complete 30 hari walaupun ia sunat sahaja.
Solat Jemaah 5 waktu di Masjid walaupun tak salah pun solat di rumah.
Lazimi sedekah walaupun 10 sen.
Qiamulaill walaupun tidur lebih sedap lagi menggoda.
Iktikaf walaupun pergi jalan-jalan lagi best.
Dan sekian bagai amalan yang lain.
Biarlah kita tidak mampu menggapai bintang di langit. Namun kita sudah melalui hingga ke puncak pohon rhu.
Berazamlah dengan usaha untuk memberikan persembahan terbaik pada Ramadhan kali ini supaya taqwa, keampunan dan pembebasan api neraka itu berjaya memberi khabar terbaik tatkala bertemu Tuhan kelak.
Selamat Berpuasa...
Ramadhan Kareem...
P/S : Download Ramadhan Plan DISINI jika anda mahu.
Ini adalah kad jemputan atau pas masuk ke Majlis Sambutan Sempena Melihat Anak Bulan Ramadhan 1432H. Insyallah majlis akan diadakan sebagaimana berikut :-
Tarikh : 30 Julai 2011M / 29 Sya'ban 1432H
Hari : Sabtu
Masa : Selepas Solat Maghrib
Tempat : Markaz Muktamarat Al-Azhar Conference Center (ACC).
Terima kasih kepada Syeikh Sayed Shaltut Hafizohullah atas pemberian kad jemputan ini...
Sebenarnya, projek penerbitan sebuah buku untuk persatuan ini sudah lama dibincangkan dan dirancang. Sudah melangkau beberapa tahun. Namun, ia masih belum dapat direalisasikan ke alam nyata. Masih sebuah ilusi dan impian.
Hari ini saya diarahkan untuk berusaha menerbitkan karya yang sudah lama membeku ini. Rugi jika tidak dimanfaatkan. Walaupun pada masa sekarang ini, skrip ini sudah banyak diaplikasikan serta diterbitkan oleh syarikat penerbitan di Malaysia. Ia sekaligus mungkin memberikan sedikit impak pada nilai pasaran.
Walaubagaimanapun, apa yang lebih penting ialah nilai kenangan yang akan terhasil pada buku ini. Ya. Kenangan apabila kita sudah renta usia kelak.
Saya tidak akan melupakan sumbangan dan usaha keras Saudara Ramadhan dan Ustaz Khairul Mohd yang bertungkus lumus sewaktu projek ini dilaksanakan sewaktu ketika dahulu. Mereka orang penting untuk projek ini. Terima kasih Ramadhan dan Ust Khairul!!!
Untuk sentuhan terakhir ini, adalah kerja-kerja suntingan dan editing.
Kerja-kerja suntingan dan editing untuk penerbitan buku bukanlah suatu yang mudah.
Moga-moga projek kali ini berjaya...
Ameen... =)
Suatu ketika tatkala waktu subuh, Saidina Bilal melihat Rasulullah SAW menangis teresak-esak.
Apabila Saidina Bilal bertanya mengapakah Baginda menangis, lalu Rasulullah menjawab bahawa baginda baru saja menerima wahyu ayat berikut.MENGAPA RASULULLAH MENANGIS
Ayat ini cukup berat dan tak tertanggung oleh Nabi SallahualaiWassalam. Dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan mengenai Ulul Albab yang bersifat mengingati Allah pada waktu berdiri, duduk dan berbaring.
Menurut Abdullah Yusuf Ali dalam tafsirnya, semua keadaan itu (berdiri,duduk dan berbaring) adalah simbolik untuk semua keadaan termasuk hal peribadi, kemasyarakatan, ekonomi, kepimpinan dan lain-lain.
Maknanya dalam seluruh kehidupan kita samada belajar, bekerja, bergaul, bersosial adalah dalam keadaan mengingati Allah sentiasa.
MAKSUD MENGINGATI ALLAH
Mengingati Allah bukan saja bermaksud kita menyebut perkataan Allah, Allah, Allah pada setiap masa dan ketika. Namun apa yang lebih dituntut adalah melakukan setiap perkara bersandarkan kepada :-
* Mencari matlamat dan redha Allah.
* Dilaksanakan mengikut syariat dan undang-undang Allah.
* Meletakkan pengharapan @ tawakkal kepada Allah. Bukan kepada usaha kita semata.
Ini bermakna, kita perlu sentiasa berfikir adakah kita hidup ini berasa betul di atas jalan rasa kehambaan dan seluruh hidup kita kerana Allah.
ULUL ALBAB
Selain sifat yang dinyatakan di atas, ayat ini menyebut tentang sifat mereka yang berfikir mengenai keajaiban ciptaan langit dan bumi. Mereka berfikir sehingga tak tercapai akal manusia yang lemah sehingga dapat dibuat kesimpulan bahawa setiap suatu ciptaan Allah bukanlah sia-sia.
Pujian kepada Allah memenuhi langit dan bumi bahkan tak terhitung. Subhanallah!!!
Kemudian mereka berdoa supaya 'selamatkanlah' diri mereka dari azab api neraka. Dalam keadaan sedikit ilmu yang diberikan, secebis buah fikiran yang hebat, dibimbangi tercalit atau disambar api neraka dek faktor sikap manusia yang lupa dan sombong.
Apa yang penting adalah hubungan antara berfikir dan selamat dari bahana api neraka.
Berfikir bagaimana mahu selamat dari azab yang maha pedih. Seterusnya berusaha membebaskan diri dengan amalan yang diajarkan agama.
Berfikir agung penciptaan Tuhan bagi melahirkankan kekuasaan Allah dan kerdilnya manusia. Penciptaan manusia, penciptaan unsur utama alam iaitu udara, air, tumbuhan dan haiwan.
Tak tercapai akal kita.
KEJAYAAN SEBENAR
Kejayaan yang sebenar adalah apabila kita selamat daripada azab api neraka. Inilah kejayaan terbesar yang ditagih.
Allah menyebutkan dalam ayat ini, sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka, mereka sebenarnya mendapat kehinaan yang hina.
Dalam kehidupan dunia ini, jika kita hanya gagal dalam peperiksaan sahaja akan terasa malu dan terhina. Begitu juga penjenayah dunia yang didapati bersalah. Dihukum di khalayak. Pasti satu kehinaan. Apatah lagi di mahkamah akhirat yang disaksikan Allah, Para Malaikat dan jutaan makhluk tuhan???
Dalam ayat ini, sekali lagi mereka memohon supaya Allah tidak menghinakan mereka di akhirat. Ini menunjukkan betapa berat seksaan menanggung kehinaan di akhirat.
Namun begitu, Allah juga menjanjikan syurga yang mengalir sungai di bawahnya bagi mereka yang berjaya.
Sungai adalah simbol kebahgiaan dan kemewahan yang tidak terhingga yang sesuai dengan keadaan masyarakat arab ketika itu.
Masakan tidak rakyat Mesir berbangga dengan Sungai Nil nya itu.
Rasulullah bersabda bahawa nikmat di syurga adalah sesuatu yang tidak pernah dipandang, tidak pernah didengar dan tidak pernah terlintas di hati dan fikiran manusia.
Inilah nikmat dan kejayaan yang sebenar.
EMPAT WAKTU
Rasulullah pernah menceritakan mengikut apa yang tersebut di dalam Kitab Nabi Ibrahim AS yang bermaksud :
"Sewajarnya bagi setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang membahagikan masanya kepada empat waktu :-
1- Waktu untuk bermunajat kepada Allah.
2- Waktu untuk bermuhasabah terhadap dirinya.
3- Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah.
4- Waktu untuk menumpukan keperluannya. (Nafkah, makan, minum & lain-lain)
Adakah kita memenuhi tuntutan empat waktu ini???
Kebiasaannya, dunia di sekeliling kita hanya memikirkan perihal waktu keempat. Kerana ia selari dengan kehendak nafsu dan syaitan.
Sekiranya kita tidak punya iman yang kental serta tidak berhati-hati, suasana yang ada di sekeliling boleh dan sangat mempengaruhi samada sedar ataupun tidak.
Mungkin tanpa kita sedari, kita hanya memikirkan persoalan waktu keempat sahaja.
Jika begitu, maka amat rugi dan malang diri kita ini...
Oh Allah, Ampuni kami...
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim ada menceritakan perihal seorang Wanita Muumisah (Wanita Pelacur) yang diampunkan dosa-dosanya. Lalu dimasukkan ke dalam syurga hanya kerana memberi minum seekor anjing yang sedang dahaga kehausan.