THE PRESENT

. 30 Mei 2012
0 comments

Tiga cara untuk memanfaatkan masa sekarang hari ini :-

BERADA PADA MASA SEKARANG

Jika anda ingin lebih bahagia dan lebih sukses, fokuslah kepada apa yang ada pada Masa Sekarang. Responlah kepada hal yang penting sekarang.

BELAJAR DARI MASA LALU

Jika anda ingin menjadikan Masa Sekarang lebih baik daripada masa lalu, lihatlah apa yang telah terjadi pada masa lalu. Belajarlah sesuatu yang berharga daripada hal tersebut. Lakukan hal yang berbeza pada Masa Sekarang.

RENCANAKAN MASA DEPAN

Jika anda ingin Masa Depan yang lebih baik daripada Masa Sekarang, lihatlah Masa Depan seperti apa yang anda inginkan. Buatlah rencana untuk mewujudkannya. Bertindak melanjutkan rencana itu pada Masa Sekarang

(Olahan dari Spencer “The Present” Johnson)
post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Abbasiyyah | 300512 | 3.02 am |

10 KUALITI KEPERIBADIAN UNGGUL

.
0 comments

KETULUSAN

Ketulusan berada di peringkat pertama sebagai sifat yang paling disukai oleh
semua orang. Ketulusan membuatkan orang lain merasa aman dan dihargai kerana
yakin ia tidak akan dibodohi atau dibohongi.

Orang yang tulus selalu mengatakan atau mengungkapkan kebenaran, tidak suka mengada-ada, berpura-pura, mencari-cari alasan atau memutarbelitkan fakta.

Prinsipnya “Ya diatas Ya dan Tidak diatas Tidak”.

Tentu akan lebih ideal apabila ketulusan yang selembut merpati itu diimbangi dengan kecerdikan seekor ular. Dengan begitu, ketulusan tidak menjadi sesuatu yang akan merugikan diri sendiri.

KERENDAHAN HATI

Berbeza dengan rendah diri yang merupakan kelemahan. Kerendahan hati ini mengungkapkan kekuatan. Hanya orang yang kuat jiwanya sahaja bersikap rendah hati. Ia seperti padi yang semakin berisi semakin menunduk.

Orang yang rendah hati sentiasa mengakui dan menghargai keunggulan orang lain. Ia akan membuatkan orang yang diatasnya merasa ok dan membuat orang yang di bawahnya tidak merasa minder.

KESETIAAN

Kesetiaan sudah menjadi barang langka & sangat tinggi harganya. Orang yang setia selalunya dipercayai dan diandalkan. Dia selalu menepati janji, punya komitmen yang kuat, rela berkorban dan tidak suka berkhianat.

POSITIVE THINKING

Orang yang bersikap positif (positive thinking) selalu berusaha melihat segala sesuatu dari kaca mata positif, bahkan dalam situasi yang buruk sekalipun. Dia lebih suka membicarakan kebaikan daripada keburukan orang lain, lebih suka bicara mengenai harapan daripada keputus asaan, lebih suka mencari solusi daripada frustasi, lebih suka memuji daripada mengecam, dan sebagainya.

KECERIAAN

Oleh kerana tidak semua orang dikurniakan susuk penampilan yang ceria, maka keceriaan tidak harus diertikan dengan ekspresi wajah dan tubuh badan tetapi melalui sikap hati. Orang yang ceria adalah orang yang sentiasa menikmati hidup, tidak suka mengeluh dan selalu berusaha meraih kegembiraan. Dia sentiasa mentertawakan situasi, orang lain dan juga dirinya sendiri. Dia punya potensi untuk menghibur dan mendorong semangat orang lain.

BERTANGGUNGJAWAB

Orang yang bertanggungjawab akan melaksanakan kewajipannya dengan bersungguh-sungguh. Kalau melakukan kesalahan, dia berani mengakuinya. Ketika mengalami kegagalan, dia tidak akan mencari kambing hitam untuk disalahkan. Bahkan kalau dia merasa kecewa dan sakit hati, dia tidak akan menyalahkan siapa pun. Dia menyedari bahwa dirinya sendirilah yang bertanggungjawab atas apa pun yang dialami dan dirasakannya.

PERCAYA DIRI

Rasa percaya diri memungkinkan seseorang menerima dirinya sebagaimana adanya, menghargai dirinya dan menghargai orang lain. Orang yang percaya diri mudah menyesuaikan diri dengan lingkungan dan situasi yang baru. Dia tahu apa yang harus dilakukannya dan melakukannya dengan baik.

BERJIWA BESAR

Orang yang berjiwa besar dapat dilihat dari segi kemampuan seseorang memaafkan orang lain. Orang yang berjiwa besar tidak akan membiarkan dirinya dikuasai oleh rasa benci dan permusuhan. Ketika menghadapi masa-masa sukar dia tetap tegar, tidak membiarkan dirinya hanyut dalam kesedihan dan keputus asaan.

EASY GOING

Orang yang easy going menganggap hidup ini ringan. Dia tidak suka membesar-besarkan masalah kecil. Bahkan berusaha mengecilkan masalah-masalah besar. Dia tidak suka mengungkit masa lalu dan tidak mahu khuwatir dan bimbang dengan masa depan. Dia tidak mahu pening dan stress dengan masalah-masalah yang berada di luar kawalannya.

EMPATI

Empati adalah sifat yang sangat mengagumkan. Orang yang berempati bukan saja pendengar yang baik tapi juga boleh menempatkan diri pada posisi orang lain. Ketika terjadi konflik dia selalu mencari jalan keluar terbaik bagi kedua belah pihak, tidak suka memaksakan pendapat dan kehendaknya sendiri. Dia selalu berusaha memahami dan mengerti orang lain.
post signature








| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Abbasiyyah | 300512 | 1.55 am |

FOR ONE MORE DAY

. 27 Februari 2012
0 comments

Dulu-dulu, semasa kecil atau remaja, pasti sentiasa berkocak dan memberontak persepsi nilai kasih sayang terhadap ibu bapa.


Adakala ibu bapa menghukum atau merotan atas kesalahan kita atau mungkin kadang-kadang bukan kesalahan kita langsung.

Hati kita memberontak. Ibu tidak sayang sayakah. Kata hati sukma.

Apabila ibu bapa tidak memenuhi impian atau kehendak, rasa seperti tidak dipedulikan.

Adakala kita sentiasa kontra atau berkhilaf dengan ibu bapa. Namun, puncak kasih sayang ibu bapa tidak kita ketahui.

FOR ONE MORE DAY

Novel For One More Day adalah satu novel yang cukup baik. Catatan pengalaman peribadi Chick Challes Beneeto sepanjang kehidupan bersama ibunya membawa beliau menghargai nilai kasih sayang seorang ibu.

Ya. Ada beberapa keadaan dan situasi yang beliau tidak berpihak kepada Ibunya.

"Ibu telah memalukan saya. Ibu telah menzalimi saya"

Kata Benetto tatkala baju tisu dan kertas dari idea ibunya mula lusuh dan koyak akibat hujan pada Pesta Hollowen.

Tetapi apabila dibilang dan dihitung, situasi Sang Ibu lebih banyak berpihak kepada Benetto. Kasih Ibu melebihi dari kasih Benetto kepada ibunya. Tidak sama. Tidak mampu ditandingi.

Kasih sayang perlu dizahirkan. Perlu dipraktikalkan.

Ibu Benetto selalu menulis surat untuk Benetto. Kalau diikutkan, boleh saja bercakap dan berbual secara langsung. Tetapi surat jauh mempunyai nilai sentimental yang kuat dan kekal selamanya. Ia lebih berharga tatkala kejauhan dan tatkala telah tiada.

Sekurang-kurang ada tanda azimat dan wasiat keramat.

Apa yang penting dalam surat itu, di akhir setiap surat ditulis dengan satu prasa yang hebat.

"Ibu sayang kamu setiap hari"

UJIAN

Dalam kehidupan, kita sering dilanda masalah dan kekangan hidup. Sering diuji. Begitu juga Benetto.

Kehidupannya kelam dengan kegagalan. Perniagaan rugi. Hidup tidak bahagia. Pengakhirannya Benetto cuba membunuh diri. Dua kali. Tetapi tidak mati-mati juga.

Mungkin kita lupa. Ibu adalah motivasi dan pendorong terkuat.

Saat kita jatuh, ibu yang memimpin tangan untuk bangun.

Saat kita berduka, ibu yang mengesat air mata,

Saat kita kalah, ibu pengubat lelah.

Sebab itulah Benetto tidak boleh mati lagi. Ibu mahu anda terus hidup dan menikmati kehidupan.

PENYESALAN & PENGHARGAAN

Apabila kita sudah dewasa, pasti banyak komitmen kehidupan yang lain. Kerja, anak-anak, keluarga dan masyarakat.

Namun, jangan diabaikan ibu bapa walaupun dahulu kasih sayang yang diterima tidak setanding. Ini soal tanggungjawab.

Benetto merasakan kehilangan dan penyesalan ini. Bukan buat salah atau dosa besar. Cuma pergi ke pertandingan besbol yang diaturkan untuknya pada malam yang diadakan majlis hari jadi ibunya. Hari untuk makan bersama.

Tetapi ibunya meninggal pada malam itu juga.

Akhirnya, Benetto faham erti kasih sayang.

Jangan setelah hilang baru terasa.

KASIH SAYANG

Kasih sayang adalah untuk dizahirkan dan dipersembahkan. Bukan untuk disembunyikan. Ibu-ibu dan bakal-bakal ibu tidak perlu sembunyikan atau malu-malu untuk menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak.

Anak-anak yang rosak adalah kerana kegersangan kasih sayang.

Anak-anak juga tidak perlu segan untuk menzahirkan kasih sayang hatta walau telah dewasa.

Ini kerana bahasa kasih sayang adalah kunci kebahagiaan hidup.

Untuk sehari lagi,

Bacalah novel ini,

Kerana ia mengajar anda tentang nilai sebuah kehidupan... =)

post signature
| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Suuq Sayyarat | 270212 | 11.29 am |

HATI DEKAT HATI JAUH

. 24 Disember 2011
0 comments

Pernah atau tidak anda melihat orang yang sedang marah atau orang yang sedang bergaduh?


Ataupun anda sendiri yang pernah bergaduh?

Cuba kita perhatikan.

Orang yang sedang marah biasanya akan meninggikan suara mereka, menengking, berteriak dan menghamburkan kata-kata dengan kuat. Itu kelaziman orang yang sedang marah apabila mereka telah hilang sabar.

Tetapi,

Kebiasaannya, orang yang dimarahi itu tidaklah berada jauh di balik gunung atau di balik bukit malah saling berhadapan di antara satu sama lain.

Jadi, kenapakah mereka perlu meninggikan suara dengan kuat kepada orang yang dimarahi itu? Mengapa perlu berteriak? Mengapa tidak bercakap lembut? Tidak dengarkah?

Ya. Inilah dikatakan hati jauh.

Ketika manusia dibakar dengan api kemarahan dan kebencian, nafsu ammarah manusia telah menutupi jarak hati manusia yang dekat dengan bayangan fatamorgana yang kelihatan amat jauh. Semakin dihampiri, semakin menjauhi.

Begitulah hati manusia apabila telah dikuasai ammarah, akan menyebabkan jarak antara dua hati menjadi sangat jauh walaupun hakikat zahir luaran adalah sangat dekat.

Maka tidak hairanlah jika ditinggikan suara dan ditengking keras kerana jarak hatinya terlalu jauh.

Semakin ditengking, semakin kuat.

Semakin kuat, semakin jauh.

Itulah hati jauh.

HATI DEKAT

Cuba kita perhatikan situasi kedua.

Dua orang yang sedang bercinta. Suami dan isteri.

Orang yang berkasih sayang biasanya jarang meninggikan suara. Mengangkat suara keras. Berteriak. Tidak sama sekali!!!

Orang yang bercinta atau berkasih sayang akan menghamburkan bahasa yang halus, lembut dan perlahan.

Mereka berbicara dengan bahasa mulus yang keluar dari hati ke mulut yang kadang-kadang hanya berdesir halus lembut tetapi masih dapat difahami dan dirasai walaupun kedua jasad insan berada jauh antara dua benua.

Seperlahan manapun bicara itu, ia masih mampu dirasai, dihayati dan difahami.

Kenapa begitu?

Kerana hati mereka dekat. Hati mereka tidak berjarak.

Kadang kala tidak perlu bait kata mengungkap. Cukup sekadar sebuah pandangan dan kelingan. Ia sudah mampu mengungkap kata yang tersirat.

Inilah hati dekat.

Di antara hati dekat dan hati jauh, kita perlu membuat pilihan.

Ketika kita sedang dilanda kemarahan dan kebencian, janganlah hati kita mencipta jarak dan ruang yang jauh. Lebih-lebih lagi dengan kata-kata yang mencampakkan jurang dan jarak yang jauh di antara hati kita.

Ingatlah!!! Di saat itu, diam adalah cara yang paling bijaksana dan berkesan. Kerana waktu akan membantu kita.

Marilah kita merapatkan hati-hati kita. Simpulkan ia supaya tidak mudah terelai dan terputus apabila disenjah keras.

Untuk anda yang disayangi dan menyayangi,

Semoga hati-hati ini dekat-dekat saja walau kita jauh berbenua-benua... =)

post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |

| Suqq Sayyarat | 241211 | 12.37 pm |

BAHASA KASIH SAYANG LAKI-LAKI

. 18 Disember 2011
0 comments


Kaum lelaki biasanya jarang-jarang mempamerkan bahasa dan tingkah laku kasih sayangnya kepada orang lain di sekitarnya.

Kasih sayang kepada keluarga.

Kasih sayang kepada rakan-rakan.

Bukan tidak sayang. Tapi malu dan segan-segan. Lelaki itu kasih sayangnya mahal. Bukan kedekut. Tetapi berharga.

Ya. Mungkin sedikit ego. Tetapi, lelaki sebenarnya mempunyai nilai kasih sayang yang cukup tinggi dan mendalam.

BAHASA KASIH SAYANG ORANG ARAB

Ada satu keistimewaan pada bangsa arab yang lazim mereka lakukan dalam muamalat kehidupan seharian mereka.

Bahasa dan ungkapan cinta sentiasa membasahi perbualan dan cakap-cakap mereka seharian.

Biasa saja kita dengar setiap hari apabila dua insan bertemu.

"Zayyaka ya basya ya habibi albi?"

(Apa khabar wahai kekasih hatiku?)

"Wahesytini awi"

(Aku sangat-sangat rindu kepada kamu)

Kalaulah kita (orang melayu), menyebutkan ungkapan cinta sebegini, pasti saja ada yang luga dan nak muntah kan?

Bukan setakat itu sahaja. Malah setiap kali bertemu, pasti saja dua pipi akan bertemu lembut dua atau tiga kali.

Kalaulah kita (orang melayu), pasti akan dicemuh dikata. Kadang-kadang melampau sehingga dikatakan dua alam.

Inilah salah satu keistimewaan bangsa arab yang mempraktikkan bahasa kasih sayang dalam kehidupan seharian yang dianjurkan oleh Baginda Nabi Rasulullah SAW.
"Tidak (sempurna) iman seseorang dari kamu jika kamu tidak mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri"

KENAPA MALU

Seharusnya komuniti umat Islam lebih mempraktikkan bahasa dan tingkahlaku kasih sayang ini kepada saudara-saudara kita sesama Islam.

Bukankah ini cukup menjernihkan pandangan umat dan menyejukkan mata memandang?

Nilai kasih sayang melahirkan kesatuan umat yang utuh, kukuh dan padu. Sejarah golongan sahabat Nabi Muhammad SAW telah berjaya mendepani sosiologi umat dan ketamadunan manusia melalui nilai kasih sayang.

Kasih sayang mereka bersama dengan para sahabat melalui tutur kata yang lembut, halus, baik dan sopan.

Tingkah laku yang jujur dan beradab.

Sentuhan dan bahasa badan yang menunjukkan sifat kasih dan belas yang mendalam.

Maka, dengan pengamalan nilai kasih sayang dalam kehidupan mereka ini, menjadikan mereka umat yang mulia dan dihormati.

Justeru itu, jangan malu untuk mengucapkan perkataan kasih dan sayang sesama kita.

Tapi bukan pula pada kasih sayang yang berlainan gender yang tidak dihalalkan.

Jom kita berkasih sayang!!!

Marilah kita ungkapkan bahasa kasih sayang kepada sesama sahabat-sahabat kita.

Esok, saya akan ungkapkan bahasa kasih sayang kepada anda!

Jangan ada yang luga dan muntah pula!!!

Kata ukhuwwah...!!! =)

Bukan ukhuwwah geli-geli...haha

post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |

| Suqq Sayyarat | 181211 | 7.42 pm |

AJAIB URUSAN ORANG MUKMIN

. 15 Disember 2011
0 comments

Orang Mukmin dan orang kafir mempunyai dua pandang berbeza dari sudut pengaturan, pengamatan, ketetapan dan nilai dalam kehidupan mereka.

Ini bermula dengan skop pandang faham bagaimana mereka menerima nilai yakin dan percaya terhadap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan mereka.

Orang Mukmin melihat segala sesuatu yang berlaku adalah dengan ketentuan, kehendak serta ketetapan Allah yang Azali.

Orang kafir pula melihat sesuatu yang berlaku mengikut tabi'e semulajadi kehidupan serta hasil usaha tangan mereka. Jika berjaya, gembira. Jika gagal, berduka. Jika senang, lapang. Jika susah, sempit. Jika sihat, bersenang. Jika sakit, merintih. Begitulah sifirnya.

Disinilah berbezanya urusan manusia.

Beza antara manusia yang bertuhan dan juga manusia yang tidak bertuhan.

SEMUA URUSAN ADALAH BAIK

Nabi Muhammad SAW telah memberitahu kepada kita tentang keajaiban ini. Nilai keimanan dalam jiwa orang Mukmin telah memberikan indikator atau kekuatan dan keistimewaan yang luar biasa kepada orang Mukmin.

Perhatikan hadis ini,

Sifat orang mukmin dalam mengharungi sebuah kehidupan diasaskan dengan dua tonggak dan kunci utama.

1- Syukur atas nikmat/kesenangan.

2- Sabar atas ujian/kesusahan.

SYUKUR

Syukur secara definasi mudah adalah melahirkan rasa berterima kasih dan penghargaan apabila menerima sesuatu yang menyenangkan hati kita. Ini bahasa mudah.

Namun, terima kasih dan penghargaan kepada makhluk (manusia) adalah berbeza dengan syukur (terima kasih) kepada Tuhan.

Menurut perbahasan Al-Imam Al-Raghib, kalimah Syukur (شكر) itu adalah keterbalikan daripada kalimah (كشر) yang memberi maksud (الكشف) iaitu terbuka.

Apa yang terbuka disini?

Orang yang bersyukur adalah orang yang hatinya terbuka menerima apa jua pemberian dan kurniaan. Kecil atau besar. Sedikit atau banyak. Terima saja seadanya dengan hati terbuka.

Lawan SYUKUR adalah KUFUR.

Kalimah (كفر) bermaksud tertutup atau terhijab.

Orang yang bersyukur sentiasa nampak dan melihat. Sentiasa dapat melihat apa yang dia ada dan dia miliki.

Orang yang kufur sentiasa tidak nampak. Sentiasa tidak dapat melihat apa yang dia ada.

Orang yang bersyukur akan menghitung nikmat yang ada hingga tidak cukup lafaz Alhamdulillah dan ketaatannya pada membalas nikmat yang ada.

Orang yang kufur akan mengeluh dan kecewa dengan segala yang tiada di tangannya hingga datang pelbagai penyakit jiwa dan agama.

Inilah ajaibnya urusan orang Mukmin.

Apa yang diterima dan disyukuri, itulah kebaikan buatnya.

SABAR

Sabar pula biasanya adalah perasaan tahan diri dan cekal jiwa apabila kita menerima apa yang bertentangan dengan kehendak dan keinginan hati kita.

Sabar itu ada 4 bahagian :-

1- Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah.

"Dan sesungguhnya Kami hendak menguji kepadamu semua, sehingga Kami dapat mengetahui siapa di antara engkau semua itu yang benar-benar berjihad dan siapa pula orang-orang yang bersabar." (Muhammad: 31)

"Orang yang bersabar dan suka memaafkan, sesungguhnya hal yang demikian itu nescaya termasuk pekerjaan yang dilakukan dengan hati yang teguh." (as-Syura: 43)

"Mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 153)

2- Sabar dalam meninggalkan maksiat kepada Allah.

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada hitungannya - kerana amat banyaknya." (az-Zumar: 10)

3- Sabar atas Bala' dan cubaan

"Nescaya Kami akan memberikan cubaan sedikit kepadamu semua seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, kemudian sampaikaniah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 155)

4- Sabar atas Ilmu dan maklumat.

Iktibar kisah perjalanan ilmu dan maklumat Nabi Musa AS bersama Nabi Khaidir AS ini menuntun sifat cekal dan istiqamah yang sebenarnya dalam mencapai hakikat dan makna sabar.

DI MANA KEBAIKAN SABAR

Beza antara orang Mukmin dan orang kafir dalam menghadapi bala' adalah bagaimana hati dan jiwa menerima ujian tersebut.

Orang Mukmin yang redha akan menerima pahala berganda. Satu, pahala menerima ujian. Dua, pahala bersabar. Tiga, pahala berdoa mengharapkan pelepasan ujian. Empat, pahala memohon ampun taubat atas kesalahan.

Semakin dekat pada Tuhan.

Semakin baik akhlak.

Orang kafir yang merintih pula membinasakan dan memusnahkan diri mereka. Minum arak, mabuk, dadah, ubat tidur, depression dan sebagainya.

Orang Mukmin, sabarnya adalah penghapus dosa.

Orang kafir, rintihnya menambah dosa.

Ketahuilah,

Sabar yang sebenarnya adalah yang tiada pengaduan padanya, tiada rintihan padanya melainkan kepada Allah.

Itulah sebenar-benar sabar.

Ajaib sungguh urusan mukmin!!!.

Apa jua bencana dan kesusahan yang diiringi dengan sabar, itulah juga kebaikan untuknya.


Jangan menangis ya bila diuji... =)

KEBAHAGIAAN HIDUP

Syukur dan Sabar,

Kunci utama kebahagiaan hidup...

post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |

| Suuq Sayyarat |151211 | 6.11 pm |

SEKEPING NOTA

. 13 Disember 2011
0 comments

Mesir sentiasa saja setia dengan hiruk-pikuknya setiap hari. Jarang sekali terasa tenang dan damai. Suasana sesak sentiasa. Malah kadang-kadang membawa sesak juga di jiwa.

Hari ini kuliah selesai jam 2.30 petang.

Kemudian terus ke Masjid Al-Azhar untuk Solat Asar.

Selepas solat, saya menerawang menengung-nengung sambil berehat di beranda masjid sementara menunggu untuk kelas yang seterusnya selepas Maghrib nanti.

Angin sejuk sangat menderu menyapu pipiku yang gebu ini. haha

Sungguh asyik sekali.

Hampir membawa kepada tidur dan terlena.

Selepas azan Maghrib, tatkala ingin masuk ke dalam rihab tempat solat, tiba-tiba ada seorang adik comel menghulurkan saya sekeping kertas.

" Apa ni ?" Tanya saya sopan. (Sopanlaa sangat...hehe)

" Hadis " Jawabnya santai.

" Kenapa bagi kat saya??? "

" Saya tengok abang dari Asar tadi asyik termenung sampai ke Maghrib "

Erkkk.

Terpaku.

Tak terkata apa saya.

Syukran adik comel... =)

post signature

BEBAN

. 02 November 2011
0 comments

Hidup ini sentiasa diwarnai dengan cabaran dan ujian. Kadang-kadang ia menjadi bebanan yang maha berat. Seberat mana pun ia, ini adalah proses mematangkan nilai kehidupan kita.

Inilah Universiti Kehidupan.

Seorang pensyarah mengangkat segelas air dan bertanya kepada pelajarnya.

“Anda semua teka berapa berat segelas air ini?”

Mahasiswa menjawab, mereka meneka dari 5 liter sampai 200 liter.

"Sebenarnya, jawapan anda ada yang betul tapi apa yang hendak saya sampaikan hari ni ialah bukan masalah berat kandungannya, tapi bergantung berapa lama anda memegangnya.

Jika saya memegangnya selama 1 minit, tidak ada masalah.

Jika saya memegangnya selama 1 jam, lengan kanan saya akan sakit.

Dan jika saya memegangnya selama 1 hari penuh, mungkin anda harus memanggilkan ambulans untuk saya.

Beratnya sebenarnya sama, tapi semakin lama saya memegangnya, maka bebannya akan semakin berat”.

“Jika kita membawa beban kita secara berterusan, lambat laun kita tidak akan mampu membawanya lagi. Beban itu akan meningkat beratnya”.

“Apa yang harus kita lakukan adalah meletakkan gelas tersebut, rehat sekejap sebelum mengangkatnya lagi”.

Kita harus meninggalkan beban kita secara berkala, agar kita dapat lebih segar dan mampu membawanya lagi. Jadi sebelum pulang ke rumah dari pekerjaan petang ini, tinggalkan beban pekerjaan. Jangan bawa pulang. Beban itu dapat diambil lagi besok.

Apapun beban yang ada di bahu anda hari ini, cuba tinggalkannya sekejap jika boleh. Setelah berehat nanti boleh diambil lagi.

Hidup ini singkat cuma.

Justeru, cubalah menikmatinya!!!

Perkara terindah dan terbaik di dunia ini tidak dapat dilihat, atau disentuh. Tetapi hanya dapat dirasakan jauh di dalam hati anda.

post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Suuq Sayyarat | 021111 | 9.16 pm |

MEDITASI

. 24 Oktober 2011
0 comments

Pernahkah ada dalam fikiran
Apa jua segala pengorbanan
Dan juga yang telah dilakukan
Bukan untuk meminta balasan

Namun bila semua telah berlalu
Kerana itu bukanlah dayamu
Apa jua yang telah berlaku
Semuanya patut menyedarkanmu
Walau bertapa tinggi kasihmu
Pasti hanya untuk sementara waktu

Kasih tuhan tidak bertepian
Kasih insan pastinya bersempadan
Apa lagi yang kita harapkan
Kerana itulah kebenarannya

Namun semuanya tak bermakna
Jika hanya dipandang sebelah mata
Pengajaran yang perlu diterima
Bila sering mengalpakanya
Bersyukurlah jika diingatkan
Sebelum tak punya kesempatan

post signature

KONTRAK HIDUP

. 08 Oktober 2011
0 comments

Ini kisah perjanjian lama.

Perjanjian agung yang telah kita tandangani bersama dengan pilihan kita sendiri tanpa paksa rela. Tanpa tekanan dan tanpa dorongan.

Mungkin kita telah terlupa. Tapi jangan pernah kita lupa!!!

AKAD KONTRAK

Sama ada kita sedar atau tidak, kita telah pun membuat satu perjanjian kontrak kehidupan dengan pemilik kehidupan dan pencipta kehidupan ini iaitu Allah SWT Taala.

Kontrak itu telah tersimpan rapi di dalam akad kontrak yang telah terbina. Terbuku kemas dalam setiap jiwa-jiwa insan.

Perjanjian ini telah kita lalui dan tandatangani bermula di dalam satu majlis sewaktu di alam arwah dahulu. Laluan pertama kita di dalam perjalanan kehidupan ini.

Telah lupa?

Janganlah lupa. Kerana anda tidak punya alasan untuk lupa.

Inilah penyaksian terhadap kontrak yang telah kita tandatangani bersama masa lampau.Jawapan ini adalah hasil daripada kesedaran, pengiktirafan dan kerelaan manusia untuk mengikat janji dengan Allah SWT Taala serta kesanggupan manusia untuk mematuhi segala perintah dan arahan yang Allah SWT Taala tetapkan kepada manusia.

Kita telah bersama menyatakan dengan YAKIN bahawa Allah itu tuhan kita. Tuhan sekalian alam yang mentadbir urus kehidupan kita di alam dunia.

Kita telah bersaksi untuk bersetia dan bersedia. Bersedia menerima apa-apa yang telah diperjanjikan. Janji untuk taat dan patuh dengan arahan dan terma-terma syarat yang telah disuruh.

Janji untuk tunduk dan patuh dari terma-terma terlarang yang telah ditulis.

Namun, adakah terma-terma ini telah kita ikuti dengan penuh disiplin atau kita telah khianat dengan perjanjian ini.

LANGGAR KONTRAK

Kita perlu sedar dan mengetahui bahawa penyaksian akad kontrak ini telah diperhatikan oleh peguam-peguam Allah Taala yang setia menjadi saksi dalam kontrak ini.

Para Malaikat Allah akan menjadi agen pemantau dan pengawal selia terhadap keberkesanan kepatuhan terhadap kontrak yang telah ditandangani ini. Semua ini tercatat dengan kemas dan rapi tanpa tercicir walau sepatah huruf dan walau setitik tinta sekali pun.

Justeru itu, manusia perlu mematuhi semua kontrak ini secara keseluruhannya dalam proses untuk menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa. Mematuhi kontrak ini dalam keadaan senang atau susah. Berat atau ringan. Sakit atau sihat.

Apabila manusia itu beriman dan bertaqwa kepada Allah, nescaya akan dibukakan segala kehidupan yang baik baginya. Penuh dengan rahmat dan berkat.

Berbeza pula pada mereka yang melanggar kontrak ini. Kesan perlanggaran kontrak ini amat berisiko dan berbahaya. Mereka ini telah menzalimi diri mereka sendiri yang akhirnya memberi kesan buruk dan cela pada diri sendiri.

Ini adalah pilihan. Kontrak telah ditandatangi. Cuma pilihan kita samada untuk memilih patuh atau engkar.

Pada anda, silalah membuat pilihan yang tepat.Maka, adalah sangat penting bagi diri kita untuk meletakkan diri kita sebagai seorang yang adil pada diri kita sendiri dan tidak berlaku zalim pada diri sendiri supaya kesejahteraan dalam kehidupan ini akan memberi impak positif pada diri sendiri dan masyarakat keseluruhannya.
KITA DUSTA

Sebaik kita membesar dan terus membesar di dunia ini, perjanjian ini telah terkubur dengan nikmat dan ego dunia.

Kata-kata kita yang sering berbohong. Seolah-olah kita tidak pernah berjanji.

Kata-kata kita yang sering menghina dan mencela. Seolah-olah kita tidak pernah berjanji.

Perbuatan kita yang kejam dan zalim. Seolah-olah kita tidak pernah berjanji.

Suruhan dan kewajipan yang telah kita abaikan. Seolah-olah kita tidak pernah berjanji.

Larangan, tegahan dan maksiat yang telah kita lakukan. Seolah-olah kita tidak pernah berjanji.

Sesungguhnya kita telah berdusta!!!

Berdusta atas penyaksian kalam diri sendiri.

TAMAT KONTRAK

Ingatlah!!!

Kontrak ini amat singkat.

Kontrak ini adalah antara kontrak hidup dan mati.

Adakah esok masih kita mampu untuk menunaikan kontrak ini? Atau adakah akan terus tamat dan terbatal?

Tempoh ini adalah tempoh untuk menyempurnakan terma-terma yang telah diperjanjikan. Menyempurnakan terma Rukun Islam yang lima. Melunaskankan terma Rukun Iman yang enam. Memperindahkan terma Ihsan yang sekian banyaknya.

Cukuplah mati itu sebagai peringatan dan motivasi.

Mati sebagai pendorong untuk kita melakukan lebih banyak kebaikan dan ketaatan. Mati sebagai motivasi penghalang daripada dosa dan kemungkaran.

Perhiaskanlah kontrak ini dengan nilai-nilai kemurniaan dan kesejahteraan. Jangan calarkan kontrak ini dengan contengan jalanan dunia yang penuh noda.

Bagi yang telah melupakan kontrak ini,
Bagi yang telah meninggalkan kontrak ini kusam,
Bagi yang telah dusta perjanjian ini,
Bagi yang telah tergelincir dari perjanjian ini,

Buatlah sesuatu sebelum kontrak hidup ini TAMAT!!!

post signature

| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Suuq Sayyarat | 081011 | 7.53 am |

Related Posts with Thumbnails
    follow me on Twitter