Memaparkan catatan dengan label BERITA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BERITA. Papar semua catatan

MENANGISI KENAIKAN HARGA BARANG

. 18 Julai 2010
0 comments

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kekesalannya terhadap kenaikan harga barang '5-dalam-1' bagi tujuan penjimatan subsidi sedangkan pada masa yang sama terdapat pelbagai pembaziran.

Penjimatan subsidi hanyalah sebagai pemanis mulut bagi menutup kelemahan kerajaan dalam pengurusan kewangan dan harta negara.

Menurut Dr. Asri, ketika kerajaan sedang membina Istana Negara berharga RM 811 juta yang hanya ekslusif untuk segolongan manusia sahaja, serta di sana berbagai lagi pembaziran yang lain, tiba-tiba rakyat awam menjadi mangsa. Subsidi mereka pula yang dirampas.

"Kenangilah orang-orang kampung yang susah, ibu bapa yang terhad pendapatan mereka dan anak-anak miskin yang akan termangsa dari setiap kenaikan harga barang".

"Mereka tiada istana mewah, tiada kereta mewah, tiada hidangan mewah."

Tengah malam semalam, kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG). Langkah mengejut dan tiba-tiba itu ternyata mengundang kemarahan pelbagai pihak serta rakyat keseluruhannya.

Menulis dalam blognya semalam, Dr Mohd Asri menempelak golongan bangsawan dan pembesar negara yang bersenang-lenang meratah kemewahan negara dengan merampas subsidi rakyat.

Orang miskin menangisi suapan mereka yang semakin meninggi harganya, yang meratah tenaga jasad dan kekayaan negara mereka.

Kalau anda makhluk yang berfikir dan berakal, anda harus melakukan sesuatu.

Berubahlah untuk kemenangan rakyat!!!

post signature


| tgidham @ http://khairulidham.blogspot.com/ |
| Kuala Terengganu | 180710 | 5.01pm |

MEMBINA INDUSTRI TERJEMAHAN

. 05 Jun 2010
1 comments

Dengan tajuk ‘Usaha Membina Kepustakaan Melayu: Perspektif Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM),’ kertas dasar pertama yang dibentangkan pada Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-11 di Kuala Lumpur semalam, menumpukan usaha meningkatkan bilangan buku dalam bahasa Malaysia melalui aktiviti penerbitan buku yang diterjemah.

Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh yang membentangkan kertas itu menggaris lima cabaran yang perlu dihadapi bagi memastikan aktiviti penterjemahan di Malaysia dapat digerakkan dengan pantas.

Langkah segera menangani cabaran ini, kata beliau, amat perlu, memandangkan Malaysia agak perlahan dalam menghasilkan karya terjemahan berbanding negara maju seperti Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan juga negara jiran, Indonesia.

Kepentingan menterjemah buku daripada bahasa lain, sama ada daripada bahasa negara Barat mahupun bahasa di Asia dianggap mendesak berikutan bilangan buku yang ditulis oleh penulis tempatan adalah tidak mencukupi, bukan sahaja dari segi jumlah, tetapi juga dari segi kepakaran.

Keadaan ini, ditambah lagi dengan sebuah kajian profil pembaca pada tahun 2005, yang mendapati rakyat Malaysia, kebanyakannya berumur di bawah 40 tahun, semakin tidak banyak membaca, iaitu pada kadar dua buah buku setahun.

Kadar literasi di kalangan penduduk turut meningkat kepada 98 peratus dan faktor-faktor ini jelas menunjukkan lebih banyak buku diperlukan bagi menampung peningkatan celik huruf ini.

Ketika membentangkan kertas dasar itu, Wan Hashim menjelaskan cabaran pertama melibatkan usaha menghasilkan terjemahan berkualiti yang mempunyai gaya bahasa yang betul. Dalam masa sama, tegasnya, terjemahan itu mesti menepati cita rasa pembaca yang mempunyai latar belakang budaya dan pendidikan berbeza.

Beliau menyatakan cabaran kedua yang turut dihadapi semenjak 14 tahun penubuhan ITNM ialah memastikan buku yang sudah diterjemahkan dan diterbitkan dapat habis dijual di pasaran. Masalah ini wujud berikutan sikap rakyat negara ini khususnya pelajar yang gemar membuat salinan fotokopi buku asal walaupun tahu ia menyalahi Akta Hak Cipta.

ITNM juga, katanya, mahu belajar daripada pengalaman Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memastikan ia tidak mengulangi masalah lambakan buku terjemahan di pasaran hingga menimbulkan masalah penyimpanan di gudang.

Cabaran ketiga, yang dihadapi oleh organisasi terjemahan buku ilmu seperti ITNM dan penerbit-penerbit universiti ialah masalah pembiayaan.

Sesetengah projek yang rumit memerlukan dana besar dan pelaburan yang tinggi dari segi kewangan, masa dan tenaga manusia. Namun begitu, Wan Hashim melahirkan kelegaannya kerana buat pertama kali, untuk tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ITNM mendapat peruntukan khas daripada Kementerian Pelajaran bagi meningkatkan usaha penterjemahan ke bahasa Malaysia dan karya agung Melayu ke bahasa asing.

Ini tentu berita yang baik, namun usaha seperti ini, ujar beliau, sepatutnya bukan sahaja melibatkan sektor kerajaan tetapi seharusnya diperluaskan kepada pihak swasta.

Cabaran keempat yang turut menjejaskan usaha mempercepatkan kegiatan penterjemahan ialah kekurangan penterjemah bagi menterjemah buku-buku ilmu selain bahasa Inggeris dalam bidang khusus tertentu, ke dalam bahasa Malaysia.

Menurut Pengerusi ITNM itu, kepelbagaian terjemahan dalam bahasa selain bahasa Inggeris adalah penting kerana sumber ilmu juga datang daripada pelbagai bahasa lain di Eropah, Asia mahupun Afrika.

Cabaran terakhir, katanya, ialah sikap masyarakat yang kurang menghargai mereka yang terlibat dalam aktiviti terjemahan sehingga menyebabkan tidak ramai yang ingin melibatkan diri dalam kerjaya berkenaan.

Persidangan selama tiga hari anjuran ITNM dengan jurnal Pemikir terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Utusan sebagai rakan media yang bermula semalam dihadiri 350 peserta dari 12 buah negara.

Sepanjang persidangan bertemakan ‘Membina Kepustakaan Dalam Bahasa Melayu,’ sebanyak dua kertas dasar dan 76 kertas kerja yang mencakupi 14 bidang dibentangkan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan dalam kertas dasar kedua bertajuk ‘Membina Kepustakaan Melayu Melalui Terjemahan’ pula menyentuh mengenai industri penterjemahan di Taiwan yang boleh dijadikan sebagai contoh.

Pada masa ini pasaran buku negara itu bernilai RM3.8 bilion setahun dan pada tahun 2000 ia telah menerbitkan 38,000 tajuk buku baru. Yang sangat ketara dan memeranjatkan ialah 8,000 daripada tajuk itu datang daripada buku asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin.

Jumlah ini adalah sangat besar jika dibanding bilangan buku yang mampu diterjemahkan oleh ITNM sejak 1993, yang hanya sebanyak 153 tajuk. Apa yang diperhatikan, jelas beliau, sebilangan besar daripada 100 buku terlaris yang dijual di kedai-kedai buku besar di Taiwan, datangnya daripada karya terjemahan.

Menurut Abdullah, negara ini perlu belajar daripada Taiwan, bagaimana ia yang hanya berpenduduk kira-kira 20 juta orang dapat menghidupkan industri perbukuan khususnya yang melibatkan karya terjemahan.

Sebab utama, kerana negara itu mempunyai bilangan pembaca ramai yang masing-masing sanggup berbelanja lebih daripada RM450 setahun untuk membeli buku. Buku-buku terjemahan yang diterbitkan di negara itu juga tidak mahal dan kualitinya sangat baik. Ini terbukti, apabila buku setebal 200 halaman berkulit nipis hanya berharga sekitar RM18 hingga RM23 senaskhah.

Di samping itu, sambutan menggalakkan juga berpunca kerana syarikat penterjemah akan melakukan tinjauan pendapat orang ramai terlebih dahulu bagi memastikan hanya buku-buku yang digemari sahaja diterjemah.

Pengalaman Taiwan itu, ujar Abdullah, membuktikan bidang penterjemahan memang boleh menjana industri besar. Ia boleh dimantapkan lagi sekiranya ada langkah proaktif untuk membentuk badan khusus bagi menyelia industri ini iaitu Lembaga Perbukuan Negara.

Ini masa yang tepat, berikutan jualan buku dalam bahasa Malaysia makin meningkat dan laris seperti buku berbahasa Inggeris.

Sumber : DISINI

post signature

PILIHANRAYA PMRAM

. 23 Mac 2010
0 comments

Tahun ini, buat julung-julung kalinya bakal menyaksikan pilihanraya umum bagi pemilihan barisan badan pengurus di peringkat pusat, PMRAM.

Yang pertama kali dalam tempoh 15 tahun. Agak sayalah.

PMRAM atau Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir adalah sebuah persatuan pelajar terbesar di Mesir yang menaungi seluruh mahasiswa/wi Malaysia dan juga dari Asia Tenggara.

PMRAM adalah persatuan yang berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir dan dikategorikan sebagai badan NGO yang diiktiraf oleh kerajaan Mesir.

Sepastinya bagi sebuah persatuan sebesar ini, meruntun kepada kesinambungan pemimpin yang berkualiti. Maka, proses pemilihan juga bukanlah sembarangan.

Ini adalah satu perkembangan yang baik dalam mencapai proses kematangan. Mahasiswa di Mesir jarang didedahkan dengan pilihanraya atau politik kampus sebagaimana di Malaysia.

Menjelang Muktamar Senawi PMRAM tidak lama lagi, pilihanraya umum PMRAM akan diadakan pada 10 April nanti.

Bagi mahasiswa Mesir, anda sudah boleh berkira-kira memilih calon pilihan anda. Yang pasti, mereka yang mampu membawa suara kita sebagai rakyat marhen ini.

Bagi para calon pula, jika anda ingin bercita-cita untuk menang, anda haruslah mesra rakyat, ceria dan bukannya bermuka masam keras seribu bahasa.

Jangan egois/sombong atau merasa terlalu sedap sangat. Kalau ingin menanglah. Itu nasihat saya.

Dan saya,

Saya akan promosikan calon pilihan saya dalam artikel akan datang.

Tunggu...

TAMBAHAN :-

- Semakan daftar pemilih pilihanraya umum [PRU] PMRAM boleh dibuat pada 28 Mac - 1 April 2010.

post signature

FILEM KITA BURUK

. 20 Mac 2010
0 comments

Negara ini sudah mengangkat 10 sasterawan ke tahap tertinggi sebagai Sasterawan Negara. Mereka ternyata telah menghasilkan karya-karya sastera sama ada puisi, cerpen atau novel yang membawa pemikiran besar bangsanya.

Di mana karya-karya besar mereka tersimpan? Siapa pula yang memanfaatkan pemikiran-pemikiran tentang bangsa dalam karya-karya itu dalam kehidupan pada zaman yang serba moden ini?

Kita boleh berbangga memiliki Sasterawan Negara Usman Awang misalnya yang banyak meniupkan kritikan sosial menerusi puisi-puisinya, begitu juga Sasterawan Negara A. Samad Said yang menghasilkan beberapa novel termasuk Hujan Pagi.

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengungkapkan kemanusiaan dan kemiskinan zaman kanak-kanak dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Begitu juga Sasterawan Negara ke-10 Anwar Ridhuan yang menghasilkan Naratif Oghonsoto. Semua ini karya-karya sastera yang besar dengan pemikiran hebat. Ini belum lagi sasterawan-sasterawan lain yang banyak menyumbangkan pemikiran dalam kesusasteraan.

Kehebatan kesusasteraan kita seharusnya menjadi alat untuk mengubah pemikiran kecil rakyat kepada pemikiran yang besar dan hebat. Sastera perlu dihidupkan oleh semua orang pada semua zaman dan semua keadaan.

Bangsa-bangsa yang dianggap hebat dan besar di dunia bukanlah semata-mata kerana penguasaan teknologi. Mereka hebat kerana akar tradisi dan kesusasteraan sentiasa hidup dalam kehidupan seharian.

Kehebatan karya-karya sastera kelihatan tidak seimbang dengan rendah dan kecilnya pemikiran dalam arena perfileman tempatan.

Dengan sekian banyak filem-filem buruk yang berlegar di pawagam ketika ini, adakah mereka tidak memanfaatkan pemikiran dalam kesusasteraan atau sememangnya sastera dan filem tidak boleh diselarikan? Maaf cakap, filem-filem kita secara umumnya sangat buruk.

Antara filem-filem 'buruk' dan 'bodoh' yang tiada nilai.

Maksud buruk di sini kalau dibandingkan dengan sebahagian besar karya-karya yang dihasilkan dalam arena sastera. Terlalu jauh kalau hendak dibandingkan dengan karya Sasterawan Negara, tetapi karya penulis biasa pun tidak mampu ditanding oleh filem tempatan.

Seharusnya kesusasteraan yang hebat menyumbang kepada karya filem yang juga hebat. Ini disebabkan pembikin filem tidak akan mengaku sebagai pembikin filem kalau tidak mengkhatami sekian banyak karya sastera bangsanya, sebelum melangkah sastera antarabangsa.

Berapa orang pengarah filem terutama yang membuat filem popular membaca karya Sasterawan Negara? Kalau mereka mengutip pemikiran besar dalam karya-karya sastera yang hebat, mereka tentu tidak tergamak menghasilkan filem-filem yang seburuk kita saksikan di pawagam.

Kesusasteraan itu dalamnya sarat dengan pemikiran bangsa. Maka kalau kita menjauhkan diri dengan kesusasteraan, kita juga menjauhkan diri dengan jendela yang membawa kita mengenali bangsa sendiri. Akibat tidak kenal bangsa, jadilah seperti sekarang.

Mungkin ada kalangan pembikin filem kita yang belum tahu bahawa Stanley Kubrick mencipta imej-imej visual luar biasa dalam filem 2001-Space Oddysey kerana dia menyelami karya-karya fiksyen Arthur C. Clarke. Begitu juga dengan kelahiran filem fiksyen sains Star Wars oleh George Lucas.

Karya-karya sains fiksyen Lucas banyak dipengaruhi oleh karya-karya sastera bercorak fiksyen sains yang dibacanya. Star Wars dan beberapa filem selepas itu memang dianggap filem berteknologi tinggi. Tetapi apalah maknanya teknologi kalau tidak dimanfaatkan secara betul. Sasteralah yang menjadikan Lucas begitu imaginatif, suatu yang semacam tidak berlaku kepada pembikin-pembikin filem kita.

Karya bodoh yang membazir

Malah karya-karya fiksyen sains seperti yang dihasilkan oleh penulis seperti William Gibson banyak membentuk filem-filem fiksyen sains yang hebat. Teknologi tidak akan membawa filem kita ke mana-mana kalau daya imaginatif tidak berakar umbi daripada teras pemikiran bangsa.

Teknologi boleh dibeli tetapi pemikiran sesuatu bangsa hanya ada dalam karya-karya sastera. Kalau ada pembikin filem menjaja teknologi tetapi tidak kenal sastera Melayu, pemikiran Melayu, karya filemnya hanya besar bagai belon. Kosong.

Pembikin filem kita sewajarnya jangan bodoh sombong menolak sastera atau tidak mendampingi sastera. Mereka perlu melihat bagaimana imaginasi novelis J.R.R. Tolkiens dalam novel klasik Lord of the Rings. Pengarah filem Lord of The Ring, Peter Jackson menjadikan novel itu sebagai inspirasi kemudian menzahirkan imaginasi kepada visual menerusi teknologi imej penjanaan komputer (CGI).

Negara-negara yang terkenal dengan kemajuan teknologi seperti Jepun, Korea, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah lainnya, di sebalik kemajuan mereka adalah memanfaatkan karya-karya seni dan sastera. Negara-negara ini kalau kita telusuri lebih jauh sebenarnya mempunyai akan tradisi dan kesusasteraan yang cukup kuat.

Maka tidak hairanlah kalau pengkritik teori Marxist tersohor, Christopher Claudwell percaya seni dan sastera mempunyai pengaruh yang kuat terhadap ekonomi sekalipun bukan produk ekonomi.

Karya buruk yang menghina

Suatu yang nyata sekarang adalah dunia perfileman kita gagal mengangkat kekuatan imaginasi dan kreativiti karya sastera tempatan. Ini kerana kita mempunyai karya-karya sastera yang hebat tetapi pada masa yang sama kita juga menjadi pengeluar filem-filem "Melayu" yang buruk dan tidak menggambarkan pemikiran bangsanya.

Adakah semua ini berlaku menunjukkan kegiatan kesusasteraan tidak cukup digerakkan untuk sampai kepada pembikin- pembikin filem? Mereka tidak perlu mengadaptasi karya sastera tetapi berfikiran hebat macam sasterawan.

Kalau ada inisiatif untuk mengadaptasi memang suatu yang sangat bagus seperti yang dilakukan oleh U-Wei Haji Saari menerusi filem Jogho dari novel Juara karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Kini U-Wei dalam pembikinan filem Hanyut adaptasi novel Almayer's Folly karya Joseph Conrad.

Filem buruk yang merosakkan minda

Lihatlah, ketika pembikin filem kita sibuk dengan filem-filem tentang mat rempit, pembikin-pembikin filem di Indonesia tidak terputus dengan ikatan pemikiran dalam kesusasteraan.

Filem Ada Apa Dengan Cinta misalnya membawa kembali generasi baru mendekati sastera dan mengenali sasterawan besar Chairil Anwar.

Pembikin filem Indonesia juga mengadaptasi novel Laskar Pelangi. Pembikin filem kita tidak habis-habis dengan "idealisme sempit" mat rempit mereka.

Sepatutnya mereka perlu merasa malu sebelum dimalukan.

(Utusan Malaysia 7 Mac 2010)

post signature

BAHASA MELAYU ATAU BAHASA MALAYSIA???

. 10 Mac 2010
1 comments

PENGGUNAAN istilah bahasa Melayu lebih tepat berbanding bahasa Malaysia berdasarkan bukti sejarah, pandangan akademik dan hakikat ilmu, sekali gus menjadikan usul Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) Ke-15, pada bulan lalu, wajar diambil perhatian oleh kerajaan.

Pengerusi Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rahim Aman, berkata penggunaan istilah bahasa Malaysia lebih berbentuk politik dan tidak merujuk kepada ilmu bahasa, sedangkan istilah yang tepat ialah bahasa Melayu dengan mengambil kira sejarah, akademik dan hakikat ilmu.

“Kerajaan mungkin melihat integrasi nasional sehingga mengharapkan semua etnik di negara ini menerimanya sebagai bahasa nasional. Bagaimanapun, ia tidak benar jika kita melihat berdasarkan konsep akademik kerana sejarah kita lebih kepada penggunaan istilah bahasa Melayu dan sudah pun diterima oleh semua etnik di negara ini,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.Dr Rahim berkata, penggunaan istilah bahasa Melayu sudah wujud sebelum Kesultanan Melayu Melaka diasaskan seperti yang digunakan oleh Kerajaan Melayu Funan, manakala pembukaan Melaka memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa terbabit.

“Kerajaan Johor-Riau selepas jatuhnya Melaka, juga berkembang sebagai pusat pentadbiran, ilmu, ekonomi dan persuratan Melayu sehingga bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa penyatu kepada etnik yang ada.

“Kalau kita lihat bahasa Inggeris pun sebenarnya berasal daripada dialek yang asalnya berkembang di wilayah England yang masih kecil ketika itu, tetapi diangkat menjadi bahasa kebangsaan mereka selaras dengan perkembangan kota London sebagai pusat ekonomi dan kecemerlangan tamadun,” katanya.

Apatah lagi istilah bahasa Melayu, masih digunakan dalam konteks akademik sehingga pusat dan program pengajian masih mengekalkan bahasa Melayu kerana universiti dibina atas asas akademik, berdasarkan sejarah bahasa Melayu yang lama itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran perubahan itu kerana bahasa Melayu sudah pun kukuh dan berupaya menjadi bahasa penyatu sehingga generasi terdahulu sejak ratusan tahun dulu dapat menerimanya.“Kita jangan berasa takut pada perkataan Melayu kerana sifat takut itu sendiri sebenarnya menggalakkan perkauman, sebaliknya penggunaan Melayu, boleh mencairkan perkauman kerana semua etnik di negara ini menerimanya.

“Bahasa Cina dan bahasa Tamil masih ada tetapi mengapa kita korbankan bahasa Melayu sedangkan saya yakin orang Cina sendiri menerima istilah itu kerana tidak ada demonstrasi atau bantahan daripada etnik lagi,” katanya.

Mengenai istilah bangsa Melayu, Dr Rahim mengambil pendekatan untuk menerima penggunaannya kerana bangsa merujuk kepada bangsa yang membina sesebuah negara, manakala etnik atau kaum pula digunakan untuk Melayu, Cina, India serta etnik di Sabah dan Sarawak.

“Semua etnik itu menjadi warga negara, iaitu bangsa Malaysia seperti bangsa Amerika yang diwakili pelbagai etnik, sekali gus penggunaan bangsa Malaysia wajar dikekalkan untuk menimbulkan kebanggaan kerana tanah ini menjadi tempat kita hidup, membina kehidupan dan mati,” katanya.

Pandangan Dr Rahim senada dengan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Adi Yasran Abdul Aziz, dalam soal penggunaan bahasa Melayu, tetapi berbeza dalam konteks penggunaan bangsa Melayu.

“Istilah bahasa Melayu sudah digunakan pada Batu Bersurat Terengganu pada 1303 Masihi dan terus digunakan sehingga 1970 tanpa ada sebarang isu berbangkit sehingga ketika mencapai kemerdekaan, bangsa lain tidak membantah apabila ia dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” jelasnya.

Justeru, ada keperluan untuk menilai kembali perubahan istilah kepada bahasa Malaysia kerana ia berkaitan dengan jati diri orang Melayu sedangkan bahasa dan bangsa adalah fitrah kejadian, lalu perubahan mesti dibuat ke arah kebaikan dan sekiranya tiada manfaat besar kepada orang Melayu, perubahan tidak perlu.

“Bahasa Melayu sudah diterima berabad-abad lama. Bahasa dan bangsa ialah fitrah kejadian. Apabila seseorang dibesarkan dalam keluarga Melayu yang menggunakan bahasa ibundanya, individu berkenaan akan turut berbahasa Melayu, iaitu peringkat pemerolehan bahasa,” katanya.

Beliau meminta pihak yang mahu mencipta istilah, terlebih dulu merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertanggungjawab dalam perkara terbabit kerana ia perlu mematuhi prosedur tertentu sebelum istilah berkenaan diterima pakai.

“Berbincang dulu dengan ahli bahasa sebelum menukarkannya. Sekiranya ada kepentingan politik dan perpaduan, ahli bahasa terbuka dalam menilai. Apatah lagi dari segi undang-undang, ia tidak tercatat sebagai bahasa kebangsaan ialah bahasa Malaysia. Sebaliknya Perkara 152 menegaskan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” tegasnya.

Mengenai istilah bangsa Malaysia, Dr Adi Yasran menganggap istilah itu sebagai idaman yang belum berlaku, sebaliknya penggunaan masyarakat Malaysia lebih tepat berdasarkan realiti rakyat di negara ini yang berada di bawah pentadbiran dan pemerintahan Malaysia.

Berita Harian 23 Februari 2010

post signature

Related Posts with Thumbnails
    follow me on Twitter